
Suara meminta agihan saksama dalam eksplotasi minyak dan gas semakin jelas berkumandang. Baru-baru ini Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua merangkap Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan turut menyuarakan betapa serius akan isu ini.
Bagi beliau, kekayaan sumber minyak dan gas perlu dieksplotasi secara saksama. Apakah dimaksudkan dengan saksama? Ia bermaksud perlu diagihkan sama rata khususnya kepada anak-anak Sarawak yang berkecimpung dalam industri ini.
Adakah selama ini sumber minyak dan gas tidak dieksploitasi secara saksama? Di bawah kementerian manakah isu ini sepatutnya disuarakan sejak dahulu? Mengapakah baru kini disuarakan dengan lebih lantang?
Di manakah peranan dan suara ahli-ahli dewan undangan negeri Sarawak sebelum ini? Bagaimanakah peranan ahli parlimen yang sewajarnya membawa isu sebegini di parlimen. Hansard di DUN dan parlimen merupakan petunjuk dan penanda aras sejauh manakah isu ini dibahaskan sebelum ini.
Jangan hina Sarawak: Suara Kerajaan Negeri?
Menteri Muda Perumahan Sarawak dan ahli Majlis Tertinggi PBB Abdul Karim Hamzah pula menyeru syarikat minyak dan gas memberikan perhatian kepada pengambilan rakyat Sarawak bagi mengisi kekosongan di negeri Sarawak.
Karim menjelaskan bahawa keutamaan harus diberikan kepada anak Sarawak bagi mengisi kekosongan di Petronas Sarawak. Beliau menjelaskan ia bukan seruan melampau batas. Hal ini kerana yang dimaksudkannya itu cumalah di peringkat Petronas cawangan Sarawak.
Hal ini ada benarnya kerana ramai anak syarikat yang mempunyai kelulusan dan kelayakan serta pengalaman dalam bidang itu. Ramai anak Sarawak lepasan universiti tempatan dan luar negara yang akhirnya terpaksa berhijrah ke luar negara, atau di Semenanjung apabila peluang di Sarawak tertutup apabila diisikan oleh bukan anak Sarawak.
Kini wujudnya Suarah Petroleum Sarawak yang terdiri daripada anak Sarawak dalam bidang kejuruteraaan, perunding, peguam, kontraktor dan bidang-bidang profesional lain dalam industri minyak dan gas. Badan ini mendakwa bahawa pada masa ini jumlah penglibatan cuma 39 peratus sahaja dalam sektor pengurusan manakala 46 peratus dalam sektor pengurusan pertengahan yang terdiri daripada anak Sarawak.
Seelok-eloknya sesuai dengan lokasi dan kedudukan Sarawak sebagai pengeluar gas dan minyak, ia perlu mencapai 75 peratus penglibatan anak Sarawak dalam Petronas cawangan Sarawak.
Justeru, janganlah kita bersikap seperti dalam perumpamaan ‘anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kelaparan’ atau dalam peribahasa lain menyatakan ‘laki pulang kelaparan, anak dagang ditanakkan”. Ia membawa maksud bahawa urusan dan keperluan sendiri diabaikan manakala urusan kepentingan orang atau pihak luar asyik diutamakan.
Mesej Adenan jelas
Apabila anak-anak buah Tan Sri Adenan Satem mulai mengaum maka ini merupakan mesej sangat jelas kepada Putrajaya bahawa rundingan minyak dan gas perlu dipercepatkan. Putraja perlu melihat isu lebih serius dan tahu implikasi terutama sokongan daripada rakyat Sarawak terhadap Barisan Nasional.
Sebagaimana dalam isu pembebasan Scotland yang diperjuangkan pada abad ke-13, ternyata semangat untuk melonggarkan diri daripada belenggu pusat dari England telah memberikan kemenangan perjuangan rakyat dan bukan sangat bergantung rundingan politik yang sering berdalih dan mencipta alasan.
Kenyataan sejarah ini perlu dijadikan iktibar dalam sejarah moden antara pusat dengan bukan pusat.
Difahamkam ketika rundingan baru-baru, Adenan kelihatan semakin bertegas mahu agar perkara ini dipercepatkan. Rakyat Sarawak sedang menaruh harapan besar terhadap kepemimpinan Adenan untuk berurusan dengan Putrajaya. Buktinya, BN telah diberikan menang besar dalam sejarah PRN Sarawak.
Harapan terhadap kepemimpinan Adenan mempunyai logik politik yang kukuh. Jika Adenan boleh mengawal kemasukan malah mengharamkan kemasukan pihak yang dicurigainya dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, maka Adenan sepatutnya boleh juga mengawal kepentingan Sarawak dalam sumber minyak dan gas.
Kuasa politik dan mandat rakyat ialah tongkat sakti Adenan.
Malah didapati kini Adenan lebih ingin melihat kawalan yang lebih ketat terhadap sumber negeri khususnya dalam aktiviti Petronas di Sarawak. Banyak lagi kawasan belum diterokai sepenuhnya.
Perlunya Sarawak lebih aktif dalam hal ehwal pengeluaran minyak dan gas negeri bermakna lebih dinamik ekonomi negeri Sarawak dan lebih banyaklah nikmat peluang pekerjaan kepada anak Sarawak. – Sarawakvoice.com