Wednesday, June 29, 2022

DAP: Beri keutamaan kepada anak Sarawak di peringkat pengurusan dalam Petronas di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak menegaskan kerajaan negeri perlu menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus anak Sarawak berada di peringkat pengurusan eksekutif Petronas negeri itu.

13754197_10205153890845404_7332794642272332264_nCaranya, kata Chong Chieng Jen  adalah dengan mengehadkan jumlah pekerja daripada bukan anak Sarawak.

Bagi Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, anak tempatan Sarawak hendaklah diberi keutamaan di peringkat pengurusan eksekutif operasi Petronas negeri itu sejajar dengan hasratnya mahu pembabitan lebih ramai anak Sarawak dalam Petronas.

“Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak November 2014, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah memaklumkan DUN bahawa Petronas telah bersetuju untuk membabitkan lebih ramai anak Sarawak dalam bahagian sumber manusia, pendidikan dan latihan teknikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, ujar Adun Kota Sentosa itu,  rakyat Sarawak tidak diberi keutamaan dalam pengambilan pekerjanya bagi operasi di sini.

Menurut beliau, sebahagian besar jawatan senior dalam operasi Petronas di Sarawak bukan dalam kalangan warga negeri itu.

“Daripada statistik yang dimaklumkan, hanya 39 peratus dan 46 peratus jawatan peringkat pengurusan dan pengurusan pertengahan diisi oleh rakyat Sarawak,” jelasnya seperti dipetik Roketkini.

Lebih meresahkan lagi, Petronas didakwa lebih mudah memecat pekerja anak Sarawak yang lebih berpengalaman, apabila ia melakukan penstrukturan semula, tanpa mempertimbangkan tugasan lain untuk mereka dalam kumpulan Petronas.

Untuk mencapai sasaran 70 peratus penglibatan rakyat Sarawak, Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching itu mencadangkan supaya kerajaan Sarawak bertegas dengan memperketatkan permit kerja bagi bukan rakyat Sarawak.

Hanya dengan langkah itu katanya, Petronas akan akur supaya lebih banyak peluang diberikan kepada rakyat Sarawak setelah syarikat minyak negara itu tidak endah langsung kepada keputusan DUN Sarawak lebih setahun setengah lalu.

Menjelaskan cadangannya, Pengerusi DAP Sarawak berkata, jika kerajaan negeri boleh melarang kemasukan pemimpin pembangkang ke Sarawak dengan sesuka hati mereka pada pilihan raya negeri lalu demi melindungi kepentingan BN, kerajaan negeri sepatutnya boleh menggunakan kuasa kawalan imigresen yang serupa demi memberi jaminan kerja untuk rakyat Sarawak.

“Jika tidak, cakap-cakap Adenan untuk melindungi kepentingan rakyat Sarawak hanyalah sembang kosong, seperti yang kita lihat dalam tuntutan royalti minyak 20 peratus,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru