KUALA LUMPUR: Barisan pemimpin Umno sepatutnya tidak membiarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ‘dibelasah’ pembangkang dalam isu-isu yang meragukan.
Menurut Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, hanya beberapa kerat sahaja yang sanggup mempertahankan Presiden Umno itu daripada diserang pembangkang.
“Apabila kita berdiam diri, membiarkan rakyat dihujani dengan pelbagai pertanyaan, akibatnya Umno yang menjadi cemuhan,” katanya melalui blog Umno Cheras, semalam.
“Pemimpin kena berani mempertahankan kedudukan Presiden kerana beliau dipilih oleh ahli parti. Itu tanggungjawab pemimpin dan ahli parti.
Syed Ali berkata, tindakan pemimpin parti yang berdiam diri hanya akan merugikan parti dan rakyat bakal diselubungi pelbagai tafsiran.
Katanya, keadaan akan menjadi lebih sukar dan kusut apabila ada pihak tidak bertanggungjawab memutarbelitkan pelbagai isu untuk kepentingan politik.
“Tidak perlu kita berasa malu atau takut sebabnya kita berjuang atas landasan parti, demi rakyat dan negara,” ujarnya. – Sarawakvoice.com