Friday, December 2, 2022

Tutup kes Naib Ketua Pemuda Umno: Wira Perkasa pertikai Ketua Polis Negara

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Wira Perkasa Malaysia (WPM) mempertikaikan keputusan Polis Diraja Malaysia menutup kes berkaitan laporan polis oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun minggu lalu yang mendakwa pembabitan tiga Tan Sri  yang berusaha menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar  semalam berkata, penutupan kes ini berdasarkan ia hanya andaian yang dibuat oleh Khairul tanpa bukti konkrit.

Irwan Fahmi Ideris_0000Menyatakan rasa terkejutnya terhadap kenyataan Khalid, Ketua WPM, Irwan Fahmi Ideris ingin tahu sebab kes itu begitu mudah ditutup.

Khairul pada kenyataannya minggu lalu  mendakwa terdapat satu penyaluran maklumat kepada agensi luar termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) oleh tiga individu terbabit.

“Setiap laporan polis dibuat perlu disertakan dengan alasan yang kukuh serta bukti,” kata Irwan.

Menurut beliau, tindakan Khairul  telah mengaibkan nama baik ketiga-tiga individu terbabit.

Mereka ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed,  bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan  bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail.

“Mereka adalah bekas kakitangan tinggi kerajaan yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara. Di manakah relevan tindakan dia ini?” tanya beliau.

Pada minggu lepas WPM  telah membuat tiga laporan polis mengenai dakwaan Khairul.

“Dakwaan yang dibuat amat serius kerana ia melibatkan keselamatan dan imej pegawai tinggi kerajaan. Pada mulanya dia mendakwa bahawa laporan polis ini dibuat atas pendirian pemuda Umno, namun selepas beberapa hari laporan dibuat Ketua Pemuda Umno sendiri tidak menyokong tindakan Khairul Azwan Harun ini,” kata Irwan dalam satu kenyataan.

“Jelas tindakan dia telah menimbulkan tanda tanya dan dia telah memalukan semua pihak. Saya percaya bahawa andaian yang dibuat oleh Khairul Azwan Harun adalah satu perkara yang tidak baik,” tambahnya.

Justeru, katanya,  WPM mendesak Ketua Polis Negara untuk menyiasat dan membuka kertas siasatan apakah motif sebenar laporan itu dibuat.

“Adakah mudah benar kita membuat andaian dan akhirnya ia telah memberi persepsi buruk kepada rakyat terhadap kredibiliti ketiga-tiga individu yang terlibat kerana jasa mereka pada negara amatlah besar,” katanya lagi.

Wira Perkasa Malaysia juga mendesak Khairul untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada ketiga-tiga individu ini kerana reputasi mereka sebagai pegawai tinggi kerajaan terjejas.

“Jika dia didakwa di mahkamah dan tidak mampu untuk mengambil khidmat guaman, Wira Perkasa boleh membantu untuk mengutip derma bagi membayar khidmat guaman untuk dirinya,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru