Terengganu adakan pilihan raya mengejut?

0
4

KUALA TERENGGANU: Selepas ura-ura Pulau Pinang hendak mengadakan pilihan raya mengejut tidak menjadi, desas-desus serupa kini mulai beralih ke pantai Timur.

Dengan krisis yang melanda Terengganu sekarang, mungkinkah negeri ini akan mengadakan pilihan raya mengejut?

Pergolakan politik di negeri ini tidak akan reda, selagi krisis sekarang tidak diselesaikan dengan muktamad.

Hubungan antara Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman dengan mantan MB Datuk Seri Ahmad Said, diketahui umum memang tidak baik. Ahmad Said dikatakan mempunyai hubungan baik dengan pihak istana, tetapi tidak demikian dengan Ahmad Razif.

Kemuncaknya adalah apabila gelaran Datuk Seri pada pangkal namanya sudah tiada lagi.

Dalam keadaan sekarang, tentu tidak ada mana-mana pihak  atau negeri yang berani memberi gelaran tersebut kepada beliau.

Hubungan dua Ahmad tidak akan pulih kerana masing-masing hendak menegakkan ego dan menunjukkan diri betul.

Beberapa hari lalu, Ahmad Said yang juga Adun Kijal bagai mencabar MT UMNO supaya mengambil tindakan disiplin termasuk memecat beliau. Kini, turut memberi tekanan kepada Ahmad Razif ialah Adun Ajil Ghazali Taib.

Apakah yang akan terjadi kepada BN jika kedua-duanya dipecat atau keluar daripada UMNO? Tentu ini akan memberi kesan kepada kedudukan BN di Terengganu.

Kini, daripada 32 kerusi, UMNO mempunyai 17 kerusi,  Pas 14, PKR 1.

Jika Ahmad dan Ghazali mengisytiharkan diri sebagai calon Bebas, tentu kedudukan MB dan BN dalam bahaya.

Hanya satu sahaja pilihan, iaitu mengadakan pilihan raya mengejut untuk menyelesaikan siapa yang layak memerintah.

Mungkinkah ini akan menguntungkan pembangkang khususnya Pas?

Kelihatannya, di Terengganu politik balas dendam tidak dapat dipadamkan.

Beberapa bulan lalu, Ahmad Said mengemukakan usul undi  tidak percaya terhadap MB, dan kini MB dikatakan mengemukakan laporan kepada MT UMNO supaya tindakan diambil terhadap Ahmad Said.

Alasannya, beliau dikatakan berpaling tadah dalam PRU lalu dan turut memporak-perandakan politik Terengganu.

“Tidak kira siapa, kalau saya sendiri buat salah, saya pun akan dikenakan tindakan,” kata Ahmad Razif cuba mempertahankan tindakannya.

Beliau berkata, UMNO telah mengambil tindakan terhadap Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

“Saya serahkan kepada kepemimpinan parti mengambil tindakan disiplin berdasarkan laporan kami,” katanya semalam.

Itulah yang menaikkan suhu kemarahan Ahmad Said. Bekas MB itu dalam ucapannya Sabtu lalu, menghalakan serangannya terhadap MB sekarang yang kepemimpinannya dipersoalkan.

Ucapannya begitu panjang dan penuh dengan nada kemarahan dan kritikan yang ditujukan kepada Ahmad Razif dan kepemimpinan tertinggi parti.

Beliau mencabar supaya UMNO memecat beliau, dan membayangkan apa yang dapat beliau lakukan jika itu yang terjadi.

Ahmad Razif ketika ini dikatakan berdepan usul undi tidak percaya sekali lagi.

Mungkinkah ini akan berlaku Isnin depan?

Ya, menang jadi arang, kalah jadi abu. – Sarawakvoice.com