Surat “IS Ancam” diterima Balai Polis Nilai, KPN cari siapa penghantar

0
4

SEREMBAN: Sebuah balai polis di Negeri Sembilan menerima satu sampul surat bertanda “IS Ancam” yang antara lain mengandungi gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut laporan China Press, gambar-gambar lain dalam surat dua muka yang dialamatkan kepada Ketua Polis Balai Nilai itu termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali dan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Surat itu juga menyatakan terdapat “316 anggota dan empat pakar di Kuala Pilah”, “114 anggota dan lapan pakar di Nilai” dan “97 anggota dan dua pakar” di Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin hari ini mengesahkan menerima surat ancaman yang dialamatkan kepada Ketua Polis Balai Nilai kira-kira 1 tengah hari semalam.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pengirim surat tersebut.

Surat itu mengandungi dua helai kertas putih bersaiz A4.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya memandang serius dan sedang menjalankan siasatan berhubung surat tersebut.

“Ancaman seperti itu tidak akan melemahkan semangat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

“Kami pernah terima lebih kurang empat ke lima surat macam itu dan saya rasa pengirim ini dah pos ke Nilai, Port Dickson (kedua-dua di Negeri Sembilan) dan merata, jadi kita dah ambil maklum.

“Kami sedang cuba kesan orang yang hantar (surat) itu kerana surat itu dihantar melalui pos,” katanya.

Beliau berkata polis telah menerima ancaman yang sama kira-kira dua bulan lalu.

Sebelum ini, satu video IS memaparkan seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Negeri Sembilan, memberi amaran bahawa pengganas akan menyerang anggota polis.

“Kepada mereka yang berada di bukit-bukit yang aman, ketahuilah kalian tidak lagi akan aman sebentar lagi.

“Kami akan pulang untuk menyerang kalian ataupun sahabat-sahabat kami yang berada di sana, insya-Allah akan memenggal leher-leher kalian,” kata lelaki dalam video itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Mohd Rafi Udin, yang dipercayai masih berpangkalan di Syria. – Sarawakvoice.com