Wednesday, November 30, 2022

Polis Sarawak berkas tiga lelaki, selesaikan kes bunuh pemborong lada hitam di Kampung Jugan, Bau

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak yakin mereka telah menyelesaikan satu kes bunuh yang melibatkan seorang lelaki di Bau pada 21 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya telah berjaya menahan tiga lelaki semalam berhubung kejadian tersebut.

“Lelaki pertama berusia 40 tahun telah dicekup pasukan D9, pimpinan Asisten Superintendan Francis Boniface Barau di Taman Dahlia, Matang pada jam 4.30 pagi tadi.

“Suspek kedua pula berusia 42 tahun dan telah ditangkap satu lagi pasukan D9 pimpinan Asisten Superintendan Lawrence Rawieng di Taman Samajaya, Kuching sekitar jam 4.35 pagi tadi.

Jelas Mazlan, ketika serbuan dilakukan suspek bersembunyi di atas siling flat rumahnya.

“Suspek ketiga pula berusia 42 tahun ditangkap pasukan D8 pimpinan Asisten Superintendan Shuib Abdul Samat di Kampung Tabuan Melayu, Kuching.

“Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari pada petang semalam bagi membantu siasatan.”

Menurut Mazlan, pada jam 2.15 petang tadi pihak polis telah menjumpai selaras senapang patah dan lapan butir peluru yang disembunyikan di dalam semak di Kampung Selarat, Sematan, Lundu.

“Kita percaya senjata itu digunakan untuk menembak mangsa dalam kejadian itu.

“Motif pembunuhan juga telah dikenal pasti namun kita tidak boleh berkongsi maklumat lanjut kerana ditakuti akan menjejaskan siasatan.

Dalam kes yang berlaku pada hari yang sama Bill Kayong ditembak mati, seorang
pemborong lada hitam berusia 36 tahun maut setelah ditembak di kepala menggunakan senjata api dipercayai jenis senapang patah.

Dalam kejadian di Kampung Jugan, Bau mangsa yang dikenali sebagai Chin Siew Kiong berasal dari Balai Ringin, Serian dikatakan berada di lokasi kejadian untuk mengambil lada hitam, sebelum ditembak oleh lelaki yang tidak dikenali.

Mangsa yang kritikal kemudian dibawa ke Hospital Bau oleh rakannya, sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

Berdasarkan maklumat orang ramai, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an kemudian berjaya ditahan di Batu Kawa untuk membantu siasatan.

Kata Mazlan, beliau merakamkan tahniah kepada pasukan khas pimpinan Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar kerana berjaya menyelesaikan kes itu.

“Ini bermakna pihak PDRM Sarawak telah berjaya menyelesaikan semua tiga kes bunuh menggunakan senjata api di Sibu, Miri dan Bau pada tahun ini,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru