Sunday, January 23, 2022

1 maut, 1 cedera, 22 selamat, bas bertembung trailer di Jalan Selangau-Sibu

Secara Rawak

MUKAH: Seorang maut apabila sebuah treler bertembung dengan sebuah bas di Jalan Sibu-Selangau dekat sini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, kemalangan dipercayai berlaku jam 4 pagi tadi.

“Pihak kita telah menerima maklumat mengenai kemalangan ini sekitar jam 4.04 pagi dan dua jentera serta ambulans EMRS dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Sibu.

“Pasukan tiba lebih sejam kemudian kerana jarak lokasi dari balai adalah sekitar 76km.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, lori tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Sibu ke Miri, dan cuba mengelak lori pasir yang rosak di tepi jalan, sebelum bertembung dengan bas yang datang dalam perjalanan dari Kuching ke Bintulu.

“Impak kemalangan tersebut menyebabkan pemandu trailer maut di tempat kejadian manakala pemandu bas mengalami cedera.

“Bagaimanapun 22 penumpang bas Baram Express tidak mengalami kecederaan,” katanya lagi.

Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu trailer yang maut dikenali sebagai Jimmy Hagi, 42 tahun manakala pemandu bas yang cedera dikenali sebagai  Ramlee Mail atau Ah Chong, 52 tahun.

Pemandu yang cedera telah dikejarkan oleh pasukan paramedik ke Hospital Sibu manakala mayat Jimmy diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan. – Sarawakvoice.com

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru