Friday, December 2, 2022

Kisah menteri tidak pandai berucap

Secara Rawak

Atas tuntutan tugas, minggu ini saya berkesempatan menghadiri beberapa majlis besar dan kecil.

Dan kerana tugasan juga, saya terpaksa mendengar dan meneliti beberapa rakaman ucapan, yang ditutur oleh beberapa ahli politik, baik ahli politik tempatan mahupun yang datang dari Semenanjung.

Ia pengalaman yang menarik dan mengujakan, apabila ucapan ini diungkapkan dengan penuh ilmu, berseni, bersahaja dan berkarisma.

Tetapi akan menjadi perjalanan yang menyeksakan apabila ungkap-ungkap kata dilafazkan dengan kering, tiada hala dan kadang-kadang sesat, kerana penutur sendiri kurang bersedia atau syok sendiri.

Menjadi pemimpin, terutama dalam politik sebenarnya memerlukan seseorang itu menjadi penutur yang baik. Bahkan berperanan sebagai pemujuk dan penghibur yang baik. Kerana penutur yang baik akan menyebabkan pendengar kekal kepadanya.

Sebab itu para penutur perlu menguasai ilmu retorik dan permainan bahasa, agar yang mendengar bukan sahaja terpesona, malah sehingga ternganga.

Bayangkan, isi ucapan yang begitu menarik, tetapi gagal diterjemahkan dalam nada, gaya dan cara yang menyakinkan. Pastinya mereka yang mendengar akan terseksa dan lebih malang lagi, berasa bosan, dan ada yang tertidur.

Dalam salah satu rakaman ucapan yang saya tangani, setelah tidak berpuas hati dengan tulisan pemberita muda yang ditugaskan, saya mengalami pengalaman kedua. Terseksa.

Bayangkan, dalam satu majlis makan malam, seorang tetamu kehormat (saya tidak berhasrat menyatakan nama) naik ke atas pentas dan berucap seolah-olah membebel.

Isu yang diungkap tidak diperjelas secara tuntas, sebaliknya melompat-lompat. Dan lebih perit, sebelum bertutur beliau terpaksa memikirkan ayat dengan agak lama sehingga mewujudkan jeda yang panjang dan tidak perlu. Sama ada hilang ilham, ataupun menterjemahkan ayat daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu, saya kurang pasti.

Tetapi yang sedihnya, penuturnya telah lama berkecimpung dalam politik. Apakah tidak ada dalam kalangan mereka yang ada di sekelilingnya (termasuk juak-juak) yang berani memberi reaksi atau maklum balas bahawa ucapannya itu membingungkan pendengar. Malah langsung tidak mencerminkan tahap intelek yang sepatutnya.

Benar, untuk menjadi ahli politik yang berjaya, kaedah berucap dan pengucapan awam yang baik adalah kualiti yang harus dimiliki.

Tidak ada jalan pintas kerana apabila berada di atas pentas, dan di hadapan mikrofon, anda berseorangan.

Sebaiknya, fokus dengan kandungan ucapan dan sedikit anekdot adalah memadai. Tidak perlu berjela. Malah 5 ke 7 minit sebenarnya memadai, kecualilah anda menyampaikan ucaptama. Jika tidak, anda akan sesat jauh hingga mengaitkan isu-isu yang tidak perlu dan melalut.

Untuk menjadi pembicara yang baik sebenarnya bukan hadir sekelip mata. Ada yang berbakat sebagai pemidato tetapi tidak semua. Justeru tidak salah untuk berguru.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri pun berguru. Beliau melepasi tahap gagapnya dengan kaedah berguru itu, dan kini menjadi antara penutur ucapan yang berkebolehan.

Jika ketandusan masa untuk tujuan latihan tersebut, bersedialah dengan teks sebelum berucap dalam mana-mana forum. Carilah penulis-penulis ucapan yang baik, dan bacalah teks tersebut dengan cara yang bijaksana dan menarik.

Kerana yang penting, cara kita membaca, menggayakan ucapan di atas pentas dengan kandungan yang fokus dan mantap itu yang penting. Ia dapat mengelakkan penutur daripada kelihatan gugup dan tidak bersedia. Dan yang paling penting ada isi dalam setiap perkataan yang dilontar.

Kepada para pemimpin yang dihormati, usahlah membuat ucapan jika anda tidak bersedia. Kerana ia akan meletakkan imej anda dalam keadaan lebih daif berbanding yang sepatutnya.

Tulisan ini hanya teguran sebagai pedoman. Semoga menjadi iktibar dan panduan kepada semua. Wallahualam. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru