Friday, September 30, 2022

Jadikan Kuching bandar raya yang lebih bertenaga, bermakna dan diingati – Tun Taib

Secara Rawak

KUCHING: Bandaraya Kuching perlu bersedia menghadapi transformasi sosial berikutan bertambahnya populasi muda yang bukan sahaja berpendidikan tinggi, tetapi daripada pelbagai latar dan pengamal gaya hidup aktif.

hari kuching_0001

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, pihak berkuasa tempatan yang terlibat perlu bersedia menghadapi perubahan ini, serta menyediakan perancangan khusus, agar transformasi ini dapat dihadapi sebaiknya.

“Perubahan struktur sosial dan aspirasi baharu ternyata lebih berkuasa dalam kehidupan masa kini.

“Malah dengan populasi yang semakin meningkat, para pentadbir perlu berfikir jauh ke hadapan, dengan melakukan penyelarasan dalam pelbagai perkara, termasuk dalam soal perumahan, jaminan kesihatan awam serta corak penganjuran aktiviti,” katanya ketika merasmikan merasmikan Hari Bandaraya Kuching ke-28, serta pelancaran Pesta Kuching 2016.

Dengan Kuching diisytiharkan sebagai bandar raya ketika beliau menjadi Ketua Menteri, Taib mahukan Kuching bukan sahaja bersedia berasimilasi dengan perubahan yang ada, malah mengekalkan konsep pembangunan asal bandar raya itu, 28 tahun lalu.

“Ketika itu kita membahagikan Kuching kepada dua kawasan pentadbiran kerana kita mahu kawasan selatan sungainya, menjadi destinasi beli-belah dengan lambakan pusat beli-belah moden dan mengujakan, manakala bahagian utaranya dipenuhi dengan kawasan rimbunan hijau dan mesra alam.

“Perancangan tersebut ternyata menjadi dan kini, Kuching menjadi sebuah bandar yang semakin terancang dan teratur,” jelasnya.

Menurutnya lagi, menjadi cabaran besar kepada kedua-dua Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan hari ini untuk memenuhi kehendak generasi muda di bandar raya ini.

“Mereka mahu aktiviti yang dapat digunakan dalam menghabiskan masa terluang mereka. Dan sebagai pentadbir, kita perlu memainkan peranan sebaik mungkin, membina komunikasi, selain memenuhi keperluan mereka,” katanya lagi.

Jelasnya, para pentadbir yang berkaitan juga harus memahami bagaimana proses perubahan ini berlaku dan bagaimana agihan populasi ini terjadi.

“Juga harus difikirkan bagaimana keperluan pengangkutan memainkan peranan dalam pembesaran bandar raya ini,” katanya.

Oleh itu kata Taib lagi, perancangan yang menyeluruh adalah penting dalam menangani keperluan ini.

“Bahkan kita perlu melihat kembali keperluan Sungai Sarawak itu sendiri sebagai tarikan utama aktiviti riadah di bandar raya ini.

“Ia seharusnya bukan menjadi tumpuan ketika dilangsungkan Regatta Sarawak sahaja, sebaliknya ia perlu dilangsungkan aktiviti-aktiviti sampingan yang kecil sifatnya, termasuk sukan air bagi membolehkan penyertaan menyeluruh dan berterusan warga bandar raya.

Jelasnya, Kuching sebagai sebuah bandar yang bersejarah, dan indah kini menjadi tumpuan ramai pelancong.

“Dengan kehadiran lebih 4 juta pengunjung setahun, kita perlu menjadikan bandar raya ini lebih bertenaga, bermakna dan diingati oleh mereka yang berkunjung ke sini,” jelasnya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru