Universiti Petroleum China akan ditubuhkan di Miri, sasar 5000 pelajar

0
9

MIRI: Sesuai dengan kedudukannya sebagai salah sebuah bandar minyak di negara ini, Miri akan menjadi lokasi penubuhan sebuah universiti berasaskan pengajian petroleum dan gas.

Penubuhan Universiti Petroleum China akan menjadikannya sebagai pusat pengajian tinggi antarabangsa pertama di negara ini yang memberi pengkhususan kepada bidang itu, selepas Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar.

13679938_1226647944043703_8938506063386732695_o

Dibangunkan berhampiran Kampus Universiti Teknologi Curtin di Senadin, universiti ini dijangka akan dapat menampung sehingga 200 pelajar ketika memulakan operasinya pada tahun depan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Fatimah Abdullah, berkata pembinaan universiti itu penting sebagai sebahagian daripada program strategik ke arah memperkukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia- China.

“Pada masa yang sama, ia akan dapat membantu menampung permintaan industri, selain menyediakan tenaga kerja mahir yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis prapelancaran universiti berkenaan, di sini semalam.

Dengan penubuhan universiti itu, katanya diharapkan penyertaan anak tempatan dalam bidang pengajian minyak dan gas akan terus melonjak.

“Universiti ini merupakan universiti swasta pertama di Asia Tenggara yang menawarkan pengajian kejuruteraan minyak dan gas, bermula dari aspek penemuan (telaga minyak) hinggalah ke peringkat cari gali (pengeluaran) dan pemprosesan bahan api.

“Justeru dengan penubuhannya, bermakna anak-anak kita tidak perlu lagi melanjutkan pengajian ke luar negara untuk mendalami bidang dan kemahiran berkenaan.

“Sekali gus akan menjimatkan biaya yang mahal,” katanya.

Pembinaan universiti itu juga kata Fatimah, akan dapat membantu menangani masalah kebergantungan kepada tenaga kerja mahir dari luar negara, terutama jawatan-jawatan penting dalam industri itu.

Universiti Petroleum China menyasarkan pengambilan 5,000 pelajar dalam tempoh 10 tahun berbanding 4,000 pelajar di Universiti Teknologi Curtin.

Malaysia adalah lokasi kedua cawangan universiti ini selepas Amerika Syarikat.

Di kampus induknya di Beijing, universiti ini memiliki 20,000 pelajar sepenuh masa dan 45,000 pelajar separuh masa, selain 1,700 pensyarah, termasuk 180 pemegang PhD. – Sarawakvoice.com