Tapis maklumat untuk elak dijebak Daesh – Jamil Khir

0
12

KUCHING: Seluruh anggota masyarakat di negara ini diwajibkan menapis maklumat alam maya secara berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan khabar angin, fitnah dan kenyataan bersifat jahat .

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sumber maklumat yang diperoleh seharusnya tepat bagi mengelakkan implikasi buruk kepada sesiapa yang dikaitkan olehnya.

“Maklumat yang tidak disaring dengan tepat inilah yang membolehkan gerakan militan Daesh berjaya melebarkan sayapnya ke segenap pelosok tempat dan mendoktrinkan pemikiran belia dan remaja di negara ini untuk menyertai mereka dalam jihad palsu.

“Oleh kerana gagal menguasai maklumat sebenar, masyarakat tidak dapat membezakan antara sumber yang sahih dan palsu, seterusnya menyebabkan mereka terpengaruh akan dakyah dan seruan jihad palsu kelompok ini,” katanya ketika menyampaikan alu-aluan sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS) ke-14 di Telaga Air, dekat sini pagi tadi.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom2_0000

Istiadat tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan melibatkan seramai 94 graduan untuk Diploma Pengajian Islam dan Dakwah.

Menjelas lanjut, Jamil menegaskan umat Islam di negara ini harus sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu yang betul agar dapat membezakan, serta tidak mempercayai segala bentuk dakyah yang cuba disebarkan.

“Pada masa yang sama untuk memperoleh kebenaran, umat Islam perlu kembali kepada kaedah yang ditetapkan oleh Al-Quran,” tambahnya.

Ini merupakan kali ke-14 IKMAS mengadakan sambutan konvokesyen semenjak penubuhannya pada September 2001.

Sejak itu, seramai 725 pasca graduan telah dilahirkan oleh institut ini, yang melibatkan 302 graduan lelaki dan 423 graduan wanita.

Pada masa yang sama, seramai 130 graduan PERAPI iaitu 60 lelaki dan 70 wanita turut dihasilkan.

Berikutan perkembangan itu katanya, sudah tiba masanya untuk IKMAS dinaik taraf sebagai sebuah kolej universiti, dan bukan lagi berstatus institut.

“Saya telah meminta Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) supaya memikirkan peningkatan taraf ini, bagi membolehkan anak-anak pelajar yang ada, khususnya di Sarawak dapat meningkatkan pembelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi lagi.

“Paling tidak, kita mengangkatnya kepada status kolej universiti … kerana saya melihat dari sudut infra, prasarana yang kita ada, membolehkan kita menggerakkan usaha ini secepat mungkin,” katanya. – Sarawakvoice.com