Tuesday, June 28, 2022

Saya tidak sedar pecah rekod 100m : Khairul Hafiz Jantan

Secara Rawak

Sentiasa berpegang kepada prinsip ‘untuk berjaya tidak kenal erti putus asa.’

“Walaupun kegagalan sentiasa mengetuk, ia bukan penamat untuk menggenggam impian.

“Yang penting teruskan usaha agar impian tercapai.”

Prinsip itulah yang dipegang anak kelahiran Umbai, Melaka, Khairul Hafiz Jantan, 18 tahun dalam mengejar cita-citanya.

Putera hasil perkongsian hidup Jantan Ramli dan Norliza Muhamat itu merupakan pemegang rekod kebangsaan baharu dalam acara 100 meter sekali gus merangkul pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) ke-XVIII Sarawak 2016, selain dinobatkan sebagai Olahragawan kejohanan.

Diangkat sebagai manusia terpantas Malaysia ketika ini, tiada siapa sangka atlet muda nakal yang tidak dikenali dan berketinggian 166 cm serta berat 56 kg, mampu menggegar arena olahraga negara.

Tambahan, ia berlaku apabila tumpuan lebih terarah kepada seorang lagi atlet pecut Melaka, Badrul Hisyam Abdul Manap yang sebelum itu berjaya membuktikan kehebatannya dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asean di Brunei.

Rekod 18 tahun milik Watson Nyambek 10.30 saat lebur dengan luruan 10.18 saat Khairul Hafiz — satu catatan yang di luar jangkaan mana-mana pihak.

Meminati bola sepak ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Datuk Demam Hussin, dan bermula lewat dalam acara olahraga, Khairul tidak pernah bermimpi untuk menjadi tumpuan media dan ikon golongan muda ketika ini.

“Hanya ketika berusia 15 tahun dan mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru dalam acara 200 meter, bakat saya dikesan jurulatih Mohd Poad Mohd Kassim, lalu membawa saya hingga ke tahap hari ini,” jelasnya.

Bukan hanya dimahkotakan sebagai manusia terpantas di Malaysia, anak muda ini juga merupakan antara remaja terpantas Asia dengan catatan masa 21.01 saat di separuh akhir 200 meter Kejohanan Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh, Vietnam.

“Saya tidak fikir apa-apa pun semasa di garisan penamat dan saya tidak sedar bahawa saya telah memecah rekod.

“Saya hanya menyedari rekod telah dipecah ketika saya meraikan kemenangan.

“Malah saya sendiri terkejut apabila terpandang catatan rekod baru di papan masa,” jelas Khairul.

Catatan masa Khairul memecah rekod 200 meter milik atlet pecut negara kelahiran Terengganu, Nazmizan Muhammad, namun gagal mengatasi catatan Tan Sri Dr M Jegathesan, 20.92 saat yang dirakamkan pada temasya Sukan Olimpik Mexico pada 1968.

Menjadikan Usain Bolt, manusia terpantas dunia yang memegang rekod dunia 100 dan 200 meter sebagai idola, Khairul memasang impian untuk bersaing dengannya.

“Itu impian saya. Dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh sambil berdoa agar hajat untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi akan tercapai,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru