Tuesday, June 28, 2022

Doping yang membinasakan atlet

Secara Rawak

Awal tahun ini dunia dikejutkan dengan laporan media berkaitan Maria Sharapova, bintang tenis wanita dunia yang telah gagal ujian dadah semasa menyertai Kejohanan Terbuka Australia pada Januari 2016.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh International Tennis Federation (ITF) bertarikh 7 Mac 2016, Maria digantung buat sementara waktu daripada menyertai sebarang kejohanan tenis bermula 12 Mac 2016 berikutan keputusan ujian tersebut.

Sejenis dadah iaitu ‘meldonium’ telah dikesan dalam sampel air kencing untuk ujian dadah yang diberikan oleh Maria. ‘Meldonium’ ialah ubat yang meningkatkan keupayaan jantung bekerja dalam keadaan darah kekurangan oksigen.

Ubat tersebut digunakan oleh tentera Kesatuan Soviet sejak tahun 1980-an, namun penggunaannya untuk tujuan rawatan tidak diluluskan oleh pihak Food & Drug Administration (FDA) di Amerika Syarikat.

‘Meldonium’ diklasifikasikan sebagai bahan pengolah metabolik dalam senarai bahan larangan oleh World Anti-Doping Agency (WADA) semenjak Januari 2016. Keputusan ujian tersebut merupakan satu kontroversi kerana Maria mendakwa telah menggunakan bahan tersebut selama lebih 10 tahun untuk merawat masalah kesihatan beliau.

Kontroversi ujian dadah Maria telah membangkitkan semula perbincangan berkaitan doping dalam kalangan peminat sukan.

Doping, atau penyalahgunaan dadah dalam sukan adalah penggunaan dadah atau bahan larangan untuk meningkatkan prestasi atlet sukan. Isu ini bukanlah suatu isu baru, ia telah menghantui komuniti ahli dan peminat sukan, baik di dalam mahupun luar negara sejak sekian lama.

Terdapat beberapa faktor yang meyebabkan penyalahgunaan dadah berlaku dalam kalangan atlet. Antara faktor tersebut adalah, penggunaan dadah bertujuan untuk memperoleh kelebihan stamina dan kekuatan tenaga, penggunaan dadah bertujuan mengawal tekanan perasaan semasa atlet bertanding dan penggunaan dadah bertujuan untuk melindungi kecederaan fizikal yang dialami oleh atlet semasa bersukan.

WADA, agensi yang ditubuhkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa berfungsi sebagai badan yang mempromosi, menyelaras dan memantau aktiviti membanteras doping.

Agensi ini telah menyenaraikan bahan-bahan yang dilarang daripada digunakan dalam sukan. Antara bahan-bahan tersebut adalah; Steroid anabolik androgenik, hormon peptida, hormon pembesaran, ubat dalam kategori Beta-agonist, hormon dan bahan pengolah metabolik, ubat diuretik, dadah perangsang, dadah narkotik, ganja, glukokortikoid dan ubat dalam kategori Beta-blockers.

Senarai bahan-bahan larangan tersebut akan dikemas kini oleh pihak WADA dari semasa ke semasa.

Penyalahgunaan dadah dalam sukan boleh mendatangkan mudarat kepada pelbagai pihak, terutama terhadap individu yang menyalahgunakan dadah tersebut, komuniti sukan dan juga memberi imej negatif kepada negara.

Individu atau atlet yang menyalahgunakan dadah untuk tujuan sukan adalah berisiko menghadapi kesan yang tidak diingini akibat penyalahgunaan dadah tersebut. Contoh kesan-kesan tersebut adalah;

• Steroid anabolic androgenik boleh menyebabkan kemandulan, peningkatan kolesterol, tekanan perasaan dan keracunan hati (hepatotoxicity);
• hormon pertumbuhan boleh menyebabkan penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi;
• Dadah perangsang boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, angin ahmar, insomnia, psikosis, kerunsingan dan mudah panik;
• Dadah narkotik boleh menyebabkan ketagihan dadah dan mengurangkan daya tumpuan;
• Ganja boleh menyebabkan mengurangkan daya tumpuan dan psikosis;
• Ubat dalam kategori Beta-agonist boleh menyebabkan ritma jantung menjadi tidak normal, jantung berdebar dan menaikkan paras gula dalam darah;
• Diuretik boleh menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit tubuh dan pembesaran buah dada; dan,
• Glukokortikoid boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, diabetes, tekanan, psikosis, peningkatan berat badan dan tulang menjadi rapuh (osteoporosis)

Dari sudut perkembangan sukan, perbuatan doping akan menyebabkan berlakunya persaingan yang tidak adil terhadap atlet yang jujur, benar-benar layak dan berkebolehan dalam sesuatu bidang sukan.

Perbuatan doping juga menjejaskan pengetahuan saintifik berkenaan keupayaan anatomi manusia.

Ini kerana, rekod-rekod sukan yang menakjubkan yang diperoleh daripada hasil perbuatan doping merupakan rekod yang tidak tepat untuk dijadikan ukuran keupayaan sebenar manusia dalam sesuatu sukan.

Justeru, penyalahgunaan dadah dalam sukan membawa mudarat kepada ramai pihak, terutama terhadap atlet itu sendiri.

Setiap atlet, jurulatih dan kumpulan perubatan yang menyelia kesihatan atlet perlu peka berkaitan perkara ini dan tidak sepatutnya menjerumuskan diri ke dalam kancah penyalahgunaan dadah dalam sukan.

Bersukan harus dilakukan dengan sepenuh semangat kesukanan, dan bukannya dengan menggunakan jalan pintas memudaratkan.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan ubat-ubatan, anda juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre; NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722.

* Khairul Naim Zainal Abidin merupakan Pegawai Farmasi di Klinik Kesihatan Lembah Klau, Raub, Pahang

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru