SIBU: Seorang anggota bomba dan tiga kanak-kanak lelaki parah apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan lori pasir di kawasan Jalan Sungai Teku sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu kenderaan jenis Perodua Kancil dipandu oleh Helmantino bin Alwi seorang pegawai bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah Sibu rosak teruk dan mengakibatkan pemandunya tersepit serta mengalami cedera parah .

Turut bersama-bersama dalam kenderaan itu adalah tiga kanak-kanak lelaki yang turut mengalami kecederaan parah manakala seorang kanak-kanak perempuan hanya mengalami cedera ringan.

Bagaimanapun pemandu lori pasir yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah Sibu menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1.26 petang .

BBP Sungai Merah dengan kekuatan anggota seramai empat orang dengan diketuai oleh PBK II Hasman Bakar tiba di lokasi yang kejadian jam 1.26 petang.

Pihak bomba yang terlibat operasi menyelamat terpaksa menggunakan peralatan pengumpil bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan .

Kesemua mangsa selepas itu dikejarkan ke Hospital Sibu untuk mendapat rawatan lanjut.

Menurut ahli keluarga mangsa yang ditemui, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan balik dari hospital selepas melawat isterinya yang baharu sahaja bersalin.

Mangsa (Helmantino) berasal dari Kampung Paloh Kabong. Kesemua mangsa kini berada di Unit Rawatan Rapi Hospital Sibu. – Sarawakvoice.com