Sunday, November 27, 2022

Tiada lagi jaguh kampung, juara Sukma perlu ke peringkat dunia — Zahid Hamidi

Secara Rawak

KUCHING: Tiada lagi istilah jaguh kampung. Semua atlet berpotensi perlu dikembangkan bakat mereka dan diberi peluang untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.

Itu mesej jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan penutupan Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Stadium Sarawak, dekat sini malam tadi.

“Saya meminta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk pastikan hasil yang kita gilap daripada produk Sukma ini wajib berada di peringkat serantau dan antarabangsa, mewakili negara dan mengharumkan nama Malaysia ke seluruh dunia.

“Kita harus menilai prestasi mereka berdasarkan pencapaian, dan bukannya kedudukan, supaya mereka tidak sekadar menjadi jaguh di gelanggang sendiri, ataupun ‘jaguh kampung’, sebaliknya menjadi jaguh antarabangsa.

Katanya, dalam melaksanakan program pembangunan atlet muda ini, Kementerian Belia dan Sukan harus merangka latihan jangka panjang yang berstruktur dan komprehensif, dan meninggalkan konsep latihan bermusim.

“Hanya dengan itu kita akan dapat terus melahirkan atlet bertaraf dunia,” tegasnya.

Ahmad Zahid turut menamakan beberapa atlet kelahiran Sukma yang telah bersinar di peringkat antarabangsa seperti Watson Nyambek, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Azizulhasni Awang, Pandalela Rinong dan Khirul Anuar Mohamed.

Dalam temasya edisi ke-18 ini, Selangor muncul juara keseluruhan untuk kali kesembilan sejak temasya ini dianjurkan pada tahun 1986 dengan memperoleh 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Sarawak di tempat kedua dengan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa manakala Terengganu di kedudukan ketiga dengan 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.

Raja pecut baharu negara, Khairul Hafiz Jantan dari Melaka dan jaguh memanah wanita, Nur Aqilah Yusof dari Terengganu diumumkan sebagai olahragawan dan olahragawati SUKMA XVIII, setelah masing-masing mencipta rekod kebangsaan dan memperbaharui rekod kejohanan.

Pada masa yang sama, sebanyak enam rekos kebangsaan dan 57 rekod kejohanan telah diperbaharui, berbanding 30 rekod yang dicatatkan di Sukma 2014 di Perlis. Pencapaian ini melakarkan peningkatan seratus-peratus.

Dengan acara gilang-gemilang malam tadi, Sukma Sarawak 2016 yang bertemakan `Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ ditutup rasmi dengan penyerahan bendera kejohanan daripada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, setelah Perak dipilih untuk menjadi tuan rumah temasya tersebut pada tahun 2018. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru