PKR matikan langkah DAP di Pulau Pinang

0
4

KUALA LUMPUR: Keghairahan DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri Pulau Pinang bagai terkulai layu.

PRN yang dicadangkan oleh Lim Guan Eng tidak menjadi.

Alasan utama adalah kerana semua pihak takut berdepan dengan PRN itu.

Memang, mana-mana negeri berhak mengadakan PRN mereka secara berasingan. Sarawak contohnya mengadakan PRN berasingan dengan PRU.

Tetapi rakyat melihat, biarlah justifikasi atau alasan mengadakan PRN itu konkrit dan meyakinkan.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mahu mengadakan PRN berkenaan untuk menguji sejauh mana dia masih popular.

Maksudnya, lebih sebagai referendum. Dia tidak peduli apa kesannya terhadap rakyat.

Baru-baru ini media melaporkan Timbalan Ketua Menteri 11, P. Ramasamy sebagai berkata DAP memberi dua pilihan sebagai respons kepada dua tuduhan rasuah yang difailkan ke atas Guan Eng.

Pertama, mengadakan pilihan raya mengejut untuk mengukur respons rakyat kepada tuduan terhadap Guan Eng.

Kedua, menunggu pilihan raya umum akan datang pada 2018.

Setiausaha Agung DAP itu didakwa di Mahkamah Tinggi pada 30 Jun atas dua tuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Namun, rakan sekutunya, PKR tidak seghairah DAP.

PKR sedar akan risiko yang bakal dihadapinya jika PRN diadakan secara mengejut. Pasti ia akan tewas di beberapa kerusi. Ini tentu tidak baik untuk imej PKR dan Pakatan Harapan.

Jika mereka hilang banyak kerusi, BN tentu dapat menyebarkan kenyataan bahawa Pakatan Harapan sudah tidak lagi diterima dan mendapat sokongan rakyat.

Ketika ini, DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi; 19 dikuasai DAP, 10 PKR, 1 PAS, dan 10 Barisan Nasional.

Satu hakikat adalah pasti: BN tentu dapat menambah jumlah kerusi daripada 10 kepada sekurang-kurangnya 15.

PAS yang tidak lagi sebulu dengan DAP, PKR dan parti serpihannya Amanah, pasti menjadi duri dalam daging.

Parti terbabit akan berbalah sesama sendiri, dan keadaan ini tentunya menguntungkan BN.

Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, UMNO-lah yang akan menang. Inilah sebenarnya ditakuti PKR.

BN sebenanrya sudah bersedia untuk turun ke gelanggang kerana yakin PRN kali ini memihak kepada mereka.

BN mencongak jika lebih banyak kerusi dimenanginya walaupun tidak menguasai DUN Pulau Pinang, maka ia merupakan antara faktor penting diambil kira ketika memutuskan sama ada mengawalkan PRU atau tidak.

Sekarang, dengan PRN tidak jadi, dan isu 1MDB semakin panas, maka mungkinkah perancangan awal BN akan diteruskan?

Bilakah PRU akan diadakan? Tentu ketika Pakatan Harapan dalam keadaan lemah dan bermasalah. – Sarawakvoice.com