KUCHING: Berpisah dengan Persekutuan Malaysia bukan agenda kerajaan Negeri Sarawak sebagaimana yang cuba diperjuangkan oleh kumpulan Sarawak for Sarawakians (S4S).

“Kita tidak tenggelam timbul dalam Persekutuan Malaysia dan hal ini perlu difahami,” kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Bercakap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2016 Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak di Wisma Haji Suaidi pada Ahad, Asfia berkata perjuangkan Kerajaan Negeri berbeza dengan pergerakan S4S.

Kerajaan Negeri Sarawak tidak pernah sependapat dengan Sarawak for Sarawakians (S4S) dalam memperjuangkan hak Sarawak dan tidak pernah berfikir untuk keluar dari Malaysia.
Asfia menegaskan, perjuangan Kerajaan Negeri berbeza dengan perjuangan S4S.

Kerajaan Negeri hanya menuntut agihan kuasa autonomi dalam beberapa perkara daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri.

Dengan ini jelas bahawa tidak timbul isu mengungkit mahu keluar daripada Persekutuan Malaysia yang sudah terbentuk lebih setengah abad.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengakui terdapat 13 perkara dikenal pasti telah dirunding bagi tujuan autonomi atau penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

Di peringkat Kerajaan Pusat pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia memberikan kuasa autonomi tertentu kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah.

Asfia di majlis rumah terbuka tersebut menyeru agar pegawai JASA dan Jabatan Penerangan sentiasa bersedia memberi penjelasan kepada masyarakat berkaitan sebarang salah faham berkaitan sebarang isu berbangkit.

Sebagai agensi yang menjadi pertahanan barisan hadapan kerajaan pegawai JASA perlu sensitif dengan isu berkaitan.

“Pegawai JASA dan Penerangan mesti pandai menghadapi sesuatu isu yang akan digunakan semasa pilihan raya ini,” kata Asfia. – Sarawakvoice.com