Friday, August 19, 2022

Hafiz Jantan olahragawan, Aqilah Yusof olahragawati terbaik SUKMA XVIII

Secara Rawak

Raja pecut baharu negara, Khairul Hafiz Jantan sebentar tadi diumumkan sebagai Olahragawan SUKMA Sarawak 2016.

Hafiz yang memecah rekod 18 tahun milik Watson Nyambek apabila memecut 10.18 saat untuk emas 100 meter, turut mencipta tiga rekod kejohanan lain iaitu dalam acara 200 meter, 4×100 meter dan 4×400 meter.

Screen Shot 2016-08-01 at 8.20.16 AM

Ditemui selepas pengumuman tersebut, Hafiz berkata beliau masih terkejut dan tidak menduga menerima anugerah tersebut.

“Saya tidak sangka akan memperoleh anugerah ini, namun saya bersyukur,” katanya yang pertama kali menyertai kejohanan SUKMA.

Menurutnya, beliau memang berazam memecah rekod SUKMA pada kali ini tetapi tidak sangka akan mencapai tahap sepantas 10.18 saat.

“Mulanya saya mensasarkan untuk rekod sahaja, tetapi tidak sangka sehingga pecah 10.18 saat. Paling tidak pun saya jangkakan 10.7 saat, dan 10.8 saat.

“Sebab bukan senang hendak mencatat masa ini,” katanya lagi.

Menurut Hafiz, percaya dan yakin kepada jurulatih menjadi azimat kejayaannya dalam temasya kali ini.

“Saya ikut kata jurulatih. Dia rancang yang terbaik untuk saya.

Ditanya langkahnya selepas ini, beliau bertekad untuk membuat yang yang lebih baik lagi, termasuk memperbaharui masa 100 meter dan memecah rekod kebangsaan 200 meter.

“Kalau diberi peluang, saya ingin berlatih di luar negara untuk memperoleh lebih pengalaman,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi olahragawati terbaik, Nur Aqilah Yusof , 17 tahun dari Terengganu, beliau tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut kerana terdapat banyak saingan lain, termasuk dalam sukan yang disertainya, memanah.

Dalam acara 70 meter recurve, Aqilah mencipta 331 mata untuk meleburkan rekod kebangsaan, 329 mata milik Mon Redee Sutxi yang dicipta pada Sukan Sea Vietnam pada tahun 2003.

Pada masa yang sama, Aqilah turut memecah dua rekod kejohanan yang lain, dengan membidik 328 mata untuk acara 60 meter recurve serta menghasilkan 341 mata untuk acara 30 meter recurve wanita.

Menurut Aqilah, tidak mudah untuk beliau menghasilkan kejayaan ini.

“Saya berlatih enam hari seminggu, termasuk bulan puasa untuk memburu kejayaan.

Kerana itulah katanya, beliau memiliki keyakinan dan perasaan akan dapat mencipta rekod pada kejohanan kali ini.

“Ada sedikit keyakinan dapat memecah rekod pada kali ini kerana sewaktu latihan, saya dapat membidik mata yang tinggi,” tambahnya.

Ini merupakan penyertaan kedua Aqila selepas gagal dalam SUKMA ke-17 di Perlis.

“Azam itulah yang membakar semangat saya untuk membuat penampilan terbaik dalam SUKMA ini,” katanya lagi.

Kedua-dua pemenang ini membawa pulang wang tunai RM5000 dan piala sebagai olahragawan dan olahragawati terbaik. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru