Friday, September 30, 2022

Agensi kerajaan perlu tiru Amerika, China perjelaskan isu kepada rakyat

Secara Rawak

KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar semalam menggesa agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam memperjelas isu-isu semasa kepada rakyat agar bersikap lebih terbuka dan berani.

asfiaa

Menurutnya, semua agensi ini perlu menghayati pendekatan terkini yang digunakan oleh kuasa-kuasa besar dunia, yang tidak menyembunyikan mana-mana isu.

“Mereka secara terbuka menayangkan isu tersebut kepada umum, sebelum memberi ulasan yang boleh memihak kepada mereka,” katanya ketika merasmikan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA) Negeri dekat sini semalam.

Asfia berkata, pendekatan-pendekatan terbuka dan berani tersebut digunakan oleh Amerika Syarikat, China malah Israel pada hari ini jelas berbeza berbanding dahulu, kerana mereka tidak bersembunyi apabila melakukan pengeboman ataupun penjarahan ke kawasan-kawasan tertentu.

“Dan apabila ditanya tentang justifikasi atau alasan tindakan mereka itu, mereka memiliki kebijaksanaan untuk memanipulasi maklumat yang ada bagi menghalalkan tindakan tersebut,” katanya lagi.

Pendekatan serupa katanya, perlu diperguna oleh agensi-agensi kerajaan sedia ada dalam menghadapi isu-isu kontemporari yang dihadapi oleh negara kini.

“Kita perlu memberi penjelasan yang tepat dan berani kerana isu-isu ini boleh menjadi bahan untuk pilihan raya yang akan datang,” katanya merujuk kepada isu pendedahan Peguam Negara AS Loretta Lynch dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berkaitan skandal 1MDB.

Kerana itulah katanya, penguasaan terhadap isu dan keupayaan untuk membuat ulasan adalah penting untuk seluruh anggota kerajaan yang terlibat dalam proses penerangan kepada rakyat seperti Jabatan Penerangan, JASA dan Kemas.

“Apabila kita berjuang, kita berjuang dengan jujur. Dan kerana kejujuran itulah kita boleh menang biarpun dengan kekuatan yang sedikit, seperti masyarakat Islam dalam peperangan Badr,” jelasnya.

Turut hadir pada sambutan itu ialah Ketua Pengarah Jasa, Datuk Dr Puad Zakarshi, Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian dan ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru