Wednesday, August 17, 2022

285 atlet jalani saringan doping, 120 diuji pernafasan bebas alkohol

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail hari ini mendedahkan sebanyak 285 atlet dan pemenang pingat dalam acara Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII telah diambil sampel urin mereka.

Proses ini telah dilaksanakan oleh 14 pegawai Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) dan 26 sukarelawan, bagi memastikan mereka tidak menggunakan bahan stimulan yang dilarang.

“Pada masa yang sama, kita juga menjalankan 120 ujian pernafasan atau ‘breathalyser’, kepada atlet-atlet di perkampungan sukan bagi mengesan pengaruh alkohol dalam kalangan atlet.

“Alhamdulillah, kita tidak mengesan sebarang pengambilan alkohol dalam kalangan atlet pada kali ini.

Dalam SUKMA Perlis dua tahun lalu, tiga atlet telah diadapati positif doping daripada 405 orang yang menjalani ujian urin.

Atlet berbasikal Wilayah Persekutuan, Dhia Danial Mohd Kharil dan atlet angkat berat wanita Sarawak, Jelinie Em Pera telah disahkan positif Anabolic Steroid manakala atlet angkat berat Perlis, Siti Fazera Ishak didapati positif Diuretics.

Kesemua item ini merupakan bahan yang dilarang oleh Agensi Anti Doping Dunia(WADA).

Daripada tiga atlet tersebut, Jelinie Em Pera merupakan pemenang dua pingat emas selain turut dianugerahkan Atlet Wanita Terbaik Sukan Malaysia XVII, Perlis 2014.

Berdasarkan kepada hasil keputusan yang dikeluarkan oleh pihak Adamas, pihak sekretariat Sukan Malaysia akan mengambil tindakan susulan ke atas atlet-atlet yang terbabit doping ini berlandaskan kepada Peraturan Am Sukan Malaysia Perkara 7.3 iaitu: Jika seseorang peserta itu mewakili pasukan/mengambil bahagian dalam acara individu dan didapati positif ujian doping dan/atau ujian breathalyser, pasukan/penyertaan individu tersebut dengan sendirinya akan terbatal.

Sekiranya pasukan atau individu yang dibatalkan turut memenangi pingat, kemenangan tersebut akan juga turut terbatal dan pingat-pingat yang dimenangi akan ditarik balik.

Pingat-pingat dan mata akan dianugerahkan kepada peserta-peserta terbaik berikutnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru