Wednesday, August 17, 2022

SUKMA XVIII: Enam rekod kebangsaan dipecah, 57 rekod kejohanan SUKMA diperbaharui

Secara Rawak

Sebanyak enam rekod kebangsaan telah dipecahkan dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak pada edisi ke-18 ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, ia menyamai pencapaian SUKMA 2014 di Perlis, namun jumlah sukan pada kali lebih banyak.

sukma last

“Antara acara memperbaharui rekod kebangsaan termasuklah sukan olahraga, angkat berat, memanah dan renang.

Atlet-atlet yang memahatkan nama sebagai pemegang rekod baharu kebangsaan termasuklah raja pecut baharu, Khairul Hafiz Jantan dari Melaka, yang mencipta 10.18 saat untuk acara olahraga 100 meter, memadamkan rekod kebangsaan 10.30 saat yang dicipta oleh The Flying Dayak, Watson Nyambek.

Atlet lain termasuklah atlet angkat berat Mohd Fazrul Azrie Mohdad dari Pahang yang mencipta angkatan 150kg untuk acara snatch 85kg lelaki berbanding rekod lama 141kg dan angkatan 176kg untuk acara clean & jerk berbanding rekod lama kebangsaan, 175kg.

Turut bersinar atlet memanah Kedah, Farah Amalina Azhar yang mencipta 350 mata untuk acara 30 meter (recurve) bagi memadamkan rekod kebangsaan 349 mata oleh atlet Terengganu, Nurul Shafiqah Hashim ketika menyertai Sirkit Kebangsaan 2012 di Lumut, Perak

Seorang lagi atlet memanah yang mencipta rekod kebangsaan ialah atlet Terengganu, Nur Aqilah Yusof, yang mencatatkan 331 mata untuk acara 70 meter (recurve), dengan rekod lama 328 mata dipegang Mon Redee Sut Txi dalam Kejohanan Sukan Sea 2003 di Vietnam.

Di pusat akuatik, perenang Wilayah Persekutuan, Lim Ching Hwang mencatat 2 minit 04.77 saat untuk rekod baharu kebangsaan bagi acara 200 meter rampaian perseorangan, mengatasi rekodnya sendiri 2 minit 04.89 saat yang dilakukan pada November tahun lalu.

“ Pada masa yang sama, sebanyak 57 rekod kejohanan telah diperbaharui berbanding hanya 30 rekod SUKMA pada tahun 2014,” kata Ahmad.

“ Ini menunjukkan berlakunya peningkatan penciptaan rekod sebanyak 47.73 peratus, sekali gus membuktikan kualiti prestasi atlet yang bertanding di negeri Sarawak pada kali ini adalah lebih baik.

Pada masa yang sama, katanya tiada protes atau bangkangan dikemukakan hingga dibawa ke perbincangan peringkat tertinggi , dan memaksa keputusan diubah.

“ Semua isu ini berjaya diselesaikan di venue pertandingan,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru