Wednesday, August 17, 2022

Selangor julang SUKMA 2016, angka 18 milik Hafiz Jantan

Secara Rawak

Dua misi utama Sarawak gagal. Pertama menjulang piala juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-18 di tempat sendiri. Kedua, gagal mencapai sasaran 72 pingat emas.

Ia berkecai apabila tewas tipis kepada Selangor dengan perbezaan dua pingat emas, dalam saingan penuh dramatik malam tadi.

Selangor mencatat 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa untuk menerima gelar juara malam ini daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam ini.

Sarawak pula sekadar memperoleh 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa untuk meletakkannya di tempat kedua manakala Terengganu di kedudukan ketiga dengan 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.

Hari terakhir pertandingan semalam menyaksikan Selangor dikalungkan enam pingat emas tambahan, dengan empat daripadanya disumbangkan oleh gimnastik artistik menerusi Chau Jern Rong sebanyak dua emas (gelang dan palang sejajar lelaki), Tan Fu Yie (kekuda pelana lelaki) dan Nur Eli Ellina Azmi ( senam lantai wanita).

Emas acara pelayaran pula dimenangi Md Faizal Norizan yang memenangi acara Antarabangsa 420 lelaki manakala dalam sukan tenis, emas disumbangkan oleh pasukan beregu lelaki.

Sarawak bagaimanapun hanya dapat menuai lima emas semalam, dengan ten pin bowling menyumbang dua emas. Ervin Lim Wai Jun mencipta emas dalam acara Masters lelaki manakala Nerosha Keligit bersaing sesama sendiri dengan Gillian Lim untuk emas Masters wanita.

Esmelda Arecia Menti Alfred Geling pula menyumbang emas dari sukan gimnastik artistik apabila menungguli acara batang titian manakala emas dalam sukan tenis diperoleh menerusi Aslina Chua An Ping yang memenangi acara perseorangan wanita.

Emas terakhir Sarawak diperoleh menerusi acara petanque, apabila Md Akmal Rizal, Muhd Nursufyan dan Md Rafie Ja’apar memenangi acara bertiga lelaki.

Namun yang mencuri tumpuan pada temasya yang akan menutup tirai malam ini pastinya dengan kejayaan anak kelahiran Kampung Berangan Enam, Umbai, Melaka, Khairul Hafiz Jantan memadamkan rekod 18 tahun milik Watson Nyambek dalam acara 100 meter, apabila mencatatkan 10.18 saat.

Kejayaan ini pasti manis kerana ia dilakarkan di hadapan Watson sendiri dan menjadi hadiah ulang tahun ke-18 yang amat bernilai bagi Khairul Hafiz. Ya, pastinya, angka 18 kali ini adalah yang akan paling diingati oleh raja pecut negara yang baharu ini.

Kepada kem Sarawak, sebenarnya mereka telah mencipta kejayaan yang agak besar sebenarnya. Selain menghadirkan saingan sengit kepada Selangor, ia turut menunjukkan peningkatan dari aspek pungutan pingat kerana di Perlis dua tahun lalu, Sarawak hanya mampu menuai 47 emas, 31 perak dan 35 gangsa, dan berada di belakang Wilayah Persekutuan dan Terengganu. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru