Wednesday, June 29, 2022

Pantau rapi ancaman sempadan : Datuk Zaki Mokhtar

Secara Rawak

Sempadan Sabah dan Sarawak kini dalam keadaan terkawal sepenuhnya. Penambahan aset dan penubuhan Rejimen Sempadan merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan untuk membolehkan proses pengukuhan keselamatan negara diperkemas.

Sempena sambutan Hari Pahawan, yang kebetulan berlangsung dalam bulan Syawal hari ini, wartawan sarawakvoice.com, Rudi Affendi Khalik menemui Panglima Medan Pemerintahan Timur, Tentera Darat, Lt Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar untuk mendapatkan kupasan lanjut.

RAK: Bagaimana sambutan hari raya Aidilfitri bagi warga tentera hari ini, Datuk?

Alhamdulillah. Pada tahun ini, ia meriah seperti mana tahun-tahun lalu juga. Selain daripada acara rumah terbuka yang dianjurkan, pada tahun ini juga Yang Terutama Tun (Abdul Taib Mahmud) telah berkenan berangkat untuk meraikan sambutan hari raya bersama-sama warga angkatan tentera, khususnya di kawasan Kuching ini.

Syukur, di sebalik kepadatan tugasan keselamatan sempadan dan sebagainya, tetapi sambutan perayaan sempat kita laksanakan . Yang mana bertugas…bertugas, yang beraya …beraya.

Kita ada putaran keliling dan sebagainya, untuk bergilir-gilir beraya dan juga bertugas.

Alhamdulillah tahun ini amat meriah sebagaimana tahun-tahun yang lalu juga.

RAK: Difahamkan penubuhan Rejimen Sempadan kini sedang berlangsung?

Alhamdulillah. Buat ketika ini, penubuhan rejimen sempadan telah pun kita aktifkan. Kita ada lebih 500 perajurit muda yang kini telah mula berlatih di Sibu, ditempatkan di Junaco Park.

Insya-Allah rancangan untuk menubuhkan Rejimen Sempadan itu telah pun bermula. Barisan pertama telah mula berlatih di Sibu. Dan biasanya latihan mereka mengambil masa enam bulan, sebagaimana Pusat Asas Darat di Port Dickson. Kita juga dalam rancangan menubuhkan Forward Operational Base dan sebagainya.

Semua yang telah dirancang, dinyatakan sebelum ini, kini telah mula dalam proses pelaksanaan. Kita sama-sama berdoa agar ia akan terus dilaksanakan.

Dan pada masa depan, keadaan keselamatan kita akan lebih kemas dalam menjaga sempadan dan sebagainya.

Selain itu, kerjasama kita dengan Tentera Nasional Indonesia juga terjalin akrab. Begitu juga kerjasama dengan agensi-agensi lain untuk menjaga perbatasan kita. Alhamdulillah. Di peringkat kami, kami akan terus berusaha , terus meningkatkan kawalan keselamatan di perbatasan, bersama-sama agensi lain, bersama-sama TNI.

Dan kita sama-sama berdoalah supaya usaha kita dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Semoga Bumi Kenyalang khususnya akan terus sejahtera, aman dan damai.

RAK: Ada berlaku sebarang penambahan aset dalam masa terdekat?

Tidak secara khusus. Kita lebih kepada penubuhan Rejimen Sempadan, Forward Operation Base. Aset memang ada tetapi banyak yang kita tumpukan kepada Sabah. Perancangan itu memang ada sebenarnya, tetapi ketika ini kita memberi tumpuan kepada Sabah dahulu.

RAK: Kawalan keselamatan negara di Sabah, yang difahamkan agak panas sekarang?

Dari segi penculikan dan sebagainya, itu bidang kuasa polis, dan saya tidak berhasrat untuk menyentuh mengenainya. Tetapi dari aspek kawasan keselamatan, kita akan terus memperkemaskan anggota dan aset.

Seperti yang kita tahu, persempadanan pantai kita luas. Kita mungkin tidak dapat ‘cover’ keseluruhannya. Kita harap yang terbaik. Tetapi seperti yang kita hasratkan, mudah-mudahan dapat kita laksanakan dengan baik.

RAK: Kesiap-siagaan anggota Datuk untuk membantu pihak polis, jika diminta untuk membantu menangani situasi panas ini?

Kita sentiasa bersedia. Kami dari segi tugasan kami untuk membantu polis sentiasa berada dalam tahap siap sedia yang tinggi, pada bila-bila masa.

Sebab itulah saya pun kerap pergi ke Sabah untuk memantau keadaan di sana. Apa juga keperluan yang diperlukan daripada kami ini, ia lebih kepada sana (Sabah).

Misalnya operasi khas. Kadang-kadang apabila mereka ini mengadakan operasi khas, tanpa bantuan kami, mungkin mereka tidak mampu.

Dan lazimnya, saya tidak akan sentuh trup-trup saya yang ada di Sabah, sebab masing-masing sudah ada perkhidmatan dan penugasan masing-masing.

Jadi, seperti dahulu… kita terbangkan dari sini, untuk membantu operasi khas. Sebab itu di Sabah, dari segi keanggotaan, ia seimbang dengan Sarawak. Di sini sentiasa ada batalion dan pasukan yang sentiasa bersedia jika ada keperluan, perancangan dan sebagainya.

RAK: Difahamkan, operasi-operasi berterusan pihak Filipina menyebabkan gerombolan militan ini dikatakan “kepanasan”.

Mungkin. Mereka juga mengadakan operasi di sana. Tetapi sehingga sekarang tidak ada sebarang petunjuk yang mengatakan mereka akan masuk ke sini, melainkan insiden-insiden terpencil penculikan.

Setakat ini, insya-Allah, dengan kelengkapan yang kita ada, kita sentiasa bersiap siaga untuk memastikan mereka tidak masuk. Sama-samalah kita berdoa. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru