Wednesday, August 17, 2022

Bujang Taha dan masa depan atlet negara

Secara Rawak

Dua tahun lalu, legenda bina badan negara, Bujang Taha, meninggalkan kita akibat komplikasi kanser mulut dan paru-paru selain penyakit asma di Hospital Umum Sarawak (HUS) ketika berusia 77 tahun.

Imbas kembali...kesedihan Bujang Taha apabila rumahnya musnah dijilat api.
Imbas kembali…kesedihan Bujang Taha apabila rumahnya musnah dijilat api.

Bujang yang dikenali sebagai Mr Asia menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.47 malam di hadapan isteri, anak dan cucu-cucunya selepas dimasukkan ke HUS sejak dua minggu sebelumnya.

Turut hadir menziarahi jenazah beliau ialah rakan karib yang juga jaguh bina badan negara, Dato’ Malek Noor – yang sebelum itu berhasrat melawat beliau atas kapasiti sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Atlet Negara.

Menurut Malek, kehilangan “abangnya” itu amat dirasai apatah lagi Bujang merupakan ikon bagi atlet di negara ini.

Bujang menaiki takhta Mr Asia sebanyak empat kali iaitu pada 1980, 1982, 1983 dan 1986 selain menyumbang dua butir emas Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1977 dan Jakarta pada 1979.

Malah Tokoh Sukan Negeri Sarawak pada 1981 dan 1989 ini juga pernah layak ke pertandingan Mr Universe di Belgium pada 1982.

Penglibatan anak Kampung Tanjung, Kuching dalam sukan bina badan ini bermula pada tahun 1975 apabila beliau mewakili Sarawak ke pertandingan Mr Malaysia dan memenangi kategori “Master”.

Lima tahun kemudian beliau yang bertanding dalam kategori bantamweight Mr Asean sebelum menjuarai Mr Asia pada tahun 1980 dan 1981.

Selain sebagai atlet bina badan, Bujang bekerja sebagai buruh di sebuah jabatan kerajaan sebelum menjadi peniaga sayur-sayuran di Medan Niaga Satok setelah bersara lebih 20 tahun lalu.

Biarpun telah pergi meninggalkan kita, nama Bujang tetap tersohor dan tersimpan kukuh dalam sejarah sukan negara.

Secebis kisah perit kehidupan Bujang yang pada akhir hayatnya kehilangan rumah dan pingat kenangan dalam tragedi kebakaran, inilah masa yang sesuai untuk kita merenung kembali sumbangan atlet-atlet negara.

Mereka mengorbankan masa, mengorbankan jiwa dan tenaga untuk negara. Malah mereka meninggalkan kemampuan untuk mewah demi menjayakan tugas yang paling penting, melonjak nama negara ke persada dunia.

Kita memiliki puluhan malah ratusan atlet yang telah berjaya dan diiktiraf di peringkat dunia. Dan banyak juga yang telah bersara. Apakah sumbangan yang dapat kita berikan kepada mereka? Apakah kita menggunakan mereka dalam program-program pembangunan atlet sedia ada? Atau selayaknya mereka dipersiapkan menjadi perunding kepada sukan yang disertai?

Banyak yang boleh dilakukan sebenarnya dalam usaha kita membalas budi atlet-atlet yang pernah menjulang nama negeri ini. Memberi peluang mereka berkhidmat pelbagai syarikat milik kerajaan atau swasta lain adalah antaranya.

Jika dahulu bank-bank di Malaysia sering menjadikan ukuran sukan sebagai syarat pengambilan pekerja, seharusnya usaha ini diteruskan.

Kita tidak mahu kehilangan atlet lantaran mereka beranggapan tidak ada masa depan di dalam sukan, seperti yang dialami oleh Bujang Taha.

Dengan tumpuan kepada sukan boleh memberikan pulangan yang lumayan, insya-Allah kita akan dapat melahirkan ramai atlet bertaraf dunia. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru