Tuesday, June 28, 2022

Shukri Abdull : Hampir mati diperangkap dadah, dihantar peluru hidup, hidap penyakit misteri kerana perjuangan banteras rasuah

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Tiga kali berjeda, termasuk hampir seminit hilang kata-kata, serta berderai air mata di penghujungnya, ucapan perpisahan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi semalam ternyata begitu menusuk kalbu.

sprm hilang-0004Dalam ucapan sekitar 16 minit itu, menyentuh tentang pengalaman 32 tahunnya menegakkan undang-undang antirasuah di negara ini, hingga beliau pernah menerima pebagai ancaman atas ketegasannya.

“Saya pernah dihantar peluru hidup di rumah. Saya pernah diperangkap dengan dadah dan hampir-hampir mati kerananya.

“Saya juga pernah menghidap penyakit misteri dan selama sebulan terlantar di hospital, dengan setiap jam 12 malam, bahu saya terasa dihiris-hiris oleh sembilu,” akuinya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Paluan Berundur di ibu pejabat SPRM di sini.

Katanya, doktor yang merawatnya pun tidak tahu apa punca penyakitnya itu hingga beliau kehilangan berat sebanyak sembilan kilogram dalam tempoh tersebut.

“Lebih memeritkan, selama 14 hari dalam setahun, saya akan menghidap imsonia, hingga menyebabkan tekanan darah saya menjadi terlampau tinggi.

“Ini tidak termasuk difitnah, dihina, dicaci dan dimaki kerana melakukan perjuangan ini (mencegah rasuah),” katanya dengan nada yang sayu.

Katanya, yang paling menyedihkan tentu sekali tuduhan terhadap diri dan Ketuanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang dikatakan terlibat daam konspirasi menjatuhkan kerajaan.

“Bagi saya individu yang membuat laporan polis tersebut (merujuk kepada Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun) sebagai tindakan orang yang tidak berilmu, kerana tidak dapat membezakan perjuangan antirasuah kerana sayangkan negara,” tegasnya lagi.

Dalam ucapannya juga, Shukri turut memberi pesanan kepada anak-anak buahnya di SPRM agar tidak takut atau gentar apabila berhadapan dengan pencacai dan pelaku rasuah.

“SPRM bukanlah tempat untuk mereka yang pengecut dan gentar pada kebenaran dan perjuangan.

“Peliharalah kebebasan SPRM kerana tugas pencegahan rasuah bukanlah tugas yang mudah.

“Hadapilah segala cabaran dan rintangan ini dengan tabah, kerana masih ada yang menaruh harapan kepada kita,” katanya.

Turut berucap pada majlis tersebut selain Tan Sri Abu Kassim yang turut bersara ialah seorang lagi Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mustafar Ali, yang akan dinaik pangkat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru