Wednesday, June 29, 2022

Senarai nama kongsi gelap palsu disebarkan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan bahawa PDRM pernah mengeluarkan kenyataan akhbar bertajuk ‘Senarai Nama Ketua Kongsi Gelap di Malaysia (Op Cantas 2016)’.

Supt. Komunikasi Korporat Urus Setia, Ketua Polis Negara, PDRM Supt. N. Venugopal berkata, siaran akhbar yang didakwa dikeluarkan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Datin Asmawati Ahmad itu, adalah palsu.

“PDRM tidak pernah membuat sebarang makluman umum mengenai senarai sasaran mana-mana operasi yang hendak dijalankan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas dilakukan oleh pihak yang cuba menimbulkan kegelisahan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siaran media palsu bertajuk Senarai Nama Anggota Ketua Kongsi Gelap di Malaysia (Ops Cantas 2016) itu  mula tersebar di media sosial dan aplikasi perbualan semalam dengan menyenaraikan 12  nama kononnya sebagai ketua kongsi gelap di Malaysia.

Venugopal menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat daripada sumber yang meragukan.

“Sewajarnya, rujuk kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Bukit Aman. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru