Tuesday, June 28, 2022

Pegawai pencegah rasuah yang bukan pengecut, ingatkan tentang hukuman Tuhan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Majlis perpisahan bagi tiga orang teratas di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya semalam begitu emosional dan menyentuh hati.

Dilingkari landskap politik yang begitu mencabar, tugas dan cabaran yang dihadapi SPRM, terutama pegawai atasan amatlah getir.  

Mereka bukan sahaja disangsi dan dilemparkan pelbagai tuduhan, tetapi berdepan cabaran dalaman dan luaran.

Justeru, kata-kata dalam ucapan peneraju yang berani dan bukan pengecut,  amatlah bererti dan dibaca dengan teliti oleh orang ramai.

Bagi mereka yang hadir semalam, kata-kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull  begitu bererti sekali.

Beliau yang dikenali sebagai ketua yang telus, bersih dan penuh integriti memberi pesanan dengan mengingatkan orang ramai kepada Tuhan.

“Nasihat saya kepada para hakim, jatuhkanlah hukuman seadil-adilnya kerana semua pihak suatu hari nanti kita akan bertemu hakim yang Maha Adil yang akan menjatuhkan hukuman pada kita,” pesan beliau.

“Pada waktu itu, semua orang, termasuk saya akan jadi saksi terhadap diri kita sendiri,  menjadi peguam bela ke atas diri kita.

Memberi penegasan lebih lanjut beliau berkata: “Sesungguhnya hukuman itu akan menjadi hukuman yang paling adil berdasarkan apa yang kita lakukan di muka bumi.”

sprm hilang-0001

Nasihat beliau itu perlu dilihat dan dibaca dalam konteks tugas dan tanggungjawab SPRM yang turut menyiasat kes 1MDB. Memang bukan mudah untuk menyiasat kes yang ada kaitan dengan kepemimpinan negara.  

Selain Shukri,  dua lagi pegawai kanan yang meninggalkan suruhanjaya itu ialah  rakan sejawatnya Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali dan ketua pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mohd Shukri turut menghalakan nasihatnya kepada para pegawainya.

“Kepada anak buahku, buatlah kerja dengan betul tanpa rasa takut dan gentar… “ tegasnya.

Beliau meminta mereka supaya menghadapi segala dugaan dan cabaran dengan penuh ketabahan.

Sebahagian daripada kakitangan yang hadir tidak dapat menahan sebak dengan ada yang mengelap air mata yang mengalir.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi tempat pertemuan berkenaan. Sesungguhnya, rakyat mengharapkan yang terbaik daripada SPRM, dan kakitangannya memikul tanggungjawab dengan berani tanpa gentar.

Bak kata Shukri, “SPRM bukanlah tempat untuk pegawai-pegawai yang kecut, penakut dan gentar.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru