KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Irmohizam Ibrahim menyifatkan tindakan DAP yang terus mendesak untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang secara mengejut sebagai suatu muslihat ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum bersedia menghadapinya.
Katanya, ketidaksepakatan pemimpin pakatan pembangkang lebih jelas ditunjukkan apabila DAP terus mendesak rakan sekutunya, PKR untuk mengadakan PRN itu.
“PKR seharusnya sedar bahawa apa yang diperjuangkan oleh DAP adalah bersifat menguntungkan DAP semata-mata. Kesungguhan Lim Guan Eng untuk mengadakan PRN ini dengan alasan tidak membiarkan perbincangan berlarutan terlalu lama kerana tidak praktikal adalah tidak selari dengan kepentingan untuk menjaga kebajikan rakyat serta ia boleh dilihat sebagai agenda yang mementingkan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Ini bukan kali pertama Pakatan Harapan bertelagah dan tidak sefahaman dalam menentukan hala tuju politik mereka, tetapi turut berlaku dalam PRN Sarawak pada 7 Mei dan pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar serta Kuala Kangsar pada 18 Jun lalu.
Katanya; “Pakatan Harapan yang tidak sehaluan bukanlah sebuah parti yang sesuai untuk mentadbir negara kita. Apa yang pasti, Barisan Nasional adalah parti yang sentiasa sepakat dalam menjaga kebajikan rakyat dan mementingkan pembangunan negara pada setiap masa.”
Apa yang jelas, kata Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, agenda PRN bukan direncanakan untuk menjaga kepentingan rakyat.
“Namun, agenda ini lebih menjurus kepada kelangsungan politik DAP di Pulau Pinang. PRN secara mengejut ini akan menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan,” jelasnya. – Sarawakvoice.com