Tuesday, December 6, 2022

Lima bot, 52 nelayan kaut 20,000kg ikan Sarawak dicekup APMM

Secara Rawak

KUCHING: Lima bot nelayan dan 52 nelayan asing yang berumur 16 hingga 56 tahun berjaya ditahan penguat kuasa Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) pada Isnin lalu kerana menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Daerah Maritim Kuching, Komander (M) Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, kelima-lima bot ini dikesan melakukan pecerobohan ini oleh kapal maritim yang sedang melakukan rondaan di antara jam 6.40 hingga 10.40 pagi Isnin lalu, pada kedudukan lebih kurang 190 batu nautika, Utara Tanjung Po.

“Kesemua mereka dipercayai berasal dari negara jiran, Vietnam dan ditangkap bersama-sama sekitar 20,000 kg ikan pelbagai jenis, yang dipercayai dikaut dari perairan negara ini.

“Kelima-lima bot tersebut kini telah ditahan di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam sidang media khas di sini semalam.

Kata Steve, jika sabit kesalahan, setiap tekong bot tersebut boleh didenda tidak lebih daripada RM1 juta atau penjara tidak lebih dua tahun.

“Manakala awak-awak berhadapan denda tidak lebih daripada RM100 ribu atau penjara tidak lebih dua tahun untuk setiap seorang.

Katanya, APMM sangat mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung aktiviti-aktiviti penangkapan haram yang dilakukan di perairan Sarawak.

“Mereka boleh menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak di talian 082-432544 untuk tujuan tersebut,” katanya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru