Tuesday, June 28, 2022

Malaysia pulihkan 97.5 peratus militan Daesh, namun pisahkan penjenayah ideologi untuk elak penularan fahaman– TPM

Secara Rawak

KUCHING: Sebuah blok baharu telah diubah suai di Kem Tahanan Kamunting, Perak bagi menempatkan para penjenayah ideologi di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha ini perlu dilakukan kerana para penjenayah ini mampu mempengaruhi fahaman para banduan lain yang ada di sekitar mereka, termasuk golongan warden yang menjaga mereka.

“Saya amat sedih untuk memaklumkan bahawa terdapat tujuh warden di sebuah penjara di negara ini telah berjaya dipengaruhi oleh kelompok ini, hingga kita terpaksa melakukan deradikalisasi terhadap mereka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri Cawangan Sarawak di Bangunan Kompleks Islam Sarawak, dekat sini pagi tadi.

zahid kuching_0002

Ketika ini kata Timbalan Perdana Menteri lagi, banduan-banduan yang ditakrifkan sebagai penjenayah ideologi ini telah dipisahkan daripada banduan-banduan lain bagi mengekang keupayaan mereka menyebarkan ideologi militan.

Kem Tahanan Kamunting terletak di bandar Kamunting, Taiping, dibina pada 1969 bagi menempatkan semua tahanan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Tahanan ISA biasanya ditahan selama dua minggu atau enam bulan, dan jika masih membahayakan negara, mereka akan ditahan selama dua tahun, dan boleh dilanjutkan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid memberitahu, kejayaan Malaysia memulihkan golongan militan dan pengganas di negara ini telah menjadi model kepada negara-negara lain di peringkat global.

“Daripada rekod yang diperlihatkan, proses deradikalisasi yang diusahakan kita ini telah menghasilkan kejayaan pemulihan sebanyak 97.5 peratus.

“Ini satu kejayaan yang besar dan ia dibantu pengalaman kita yang luas dalam proses ini, iaitu sejak era insurgensi pada 1948, sehinggalah kelompok pengganas itu meletakkan senjata.

“Kita pulihkan mereka daripada menjadi liabiliti negara kepada aset yang boleh menyumbang kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sarawak di Kompleks Islam Sarawak hari ini.

Terdahulu, beliau dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis turut mengadakan kunjungan Aidilfitri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di kediaman mereka.

zahid kuching_0000

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, acuan yang sama turut digunakan untuk membentuk prosedur operasi standard (SOP), dalam pelaksanaan program deradikalisasi ini.

“Kita berusaha memulihkan pemikiran dan fahaman anggota militan yang ditahan.

“Kerana itulah apabila saya menyertai Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya meminta SOP ini diadakan dengan mengumpulkan pandangan daripada pihak KDN, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara, malah kumpulan pakar dalam pelbagai bidang berkaitan, seperti psikologi dan ulama,” katanya lagi.

Kejayaan SOP ini katanya, kini telah dibukukan untuk menjadi panduan bersama oleh semua pihak.

“Ia kini diterjemahkan kepada tiga bahasa iaitu Inggeris, Arab dan Perancis dan merupakan inisiatif kita untuk berkongsi pengalaman dengan negara-negara lain akan kaedah kita dalam memerangi keganasan,” katanya.

Setakat ini kata Ahmad Zahid lagi, kementeriannya telah berjaya menahan 261 individu yang dikaitkan dengan ancaman Daesh di bawah beberapa undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (Pota), dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Khas Menangani Keganasan di Luar Negara 2015 (Smata).

Pada masa yang sama katanya, seramai 63 individu dari Malaysia pula telah dikenal pasti bergerak aktif sebagai pejuang Daesh di Iraq dan Syria.

“Kerajaan memandang serius penyertaan rakyat Malaysia dalam kegiatan itu keranaia bukan sahaja menjejaskan imej negara, bahkan turut mencemari imej agama yang amat menitikberatkan keharmonian dan keamanan, selain mengelak pembunuhan sesama Islam, apa lagi penganut agama lain,” katanya. – Sarawakvoice.com

zahid kuching_0001

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru