Friday, October 7, 2022

Duterte enggan berbincang dengan Abu Sayyaf

Secara Rawak

KOTA KINABALU: Presiden Filipina  Rodrigo Duterte menegaskan tidak akan berbincang dengan Kumpulan Abu Sayyaf yang disifatkannya sebagai penjenayah.

Pada Khamis, Duterte yang menduduki kerusi Presiden 30 Jun lalu berkata, kerajaannya tidak akan berbincang dengan kumpulan itu kerana ahlinya adalah “penjenayah”.

Dalam laporannya semalam, Manila Times memetik ucapan Duterte di Kem Nakar di Lucena, Quezon, yang membuat perbezaan antara Abu Sayyaf dengan kumpulan komunis, pemberontak Islam,
Moro Islamic Liberation Front (MILF) dan Moro National Liberation Front (MNLF).

Dengan kumpulan terbabit Duterte bersedia untuk mengadakan perundingan bagi mewujudkan keamanan.

“Kita perlu tekankan kepentingan kedamaian, walau dengan pihak Moro. Seperti saya berunding dengan komunis, saya juga akan berunding dengan MILF dan MNLF, dan semua kumpulan bersenjata di situ, kecuali  dengan Abu Sayyaf,” Presiden dipetik sebagai berkata.

“Saya tidak akan berbincang dengan penjenayah, hanya mereka yang punya ideologi,” tambahnya.  

Duterte awal bulan ini, bagaimanapun, berkata beliau tidak akan melabelkan  Abu Sayyaf  sebagai penjenayah, dan menyatakan kumpulan itu digerakkan oleh keadaan terdesak.

“Saya tak akan menganggap Abu Sayyaf sebagai penjenayah. Anda tidak akan mendengar saya kata, mereka penjenayah,”kata Duterte.

Tetapi dalam ucapannya kelmarin, beliau berkata akan menggempur kumpulan Abu Sayyaf.

“Mandat di bawah perlembagaan diberi kepada kerajaan, bukannya kumpulan berkenaan,” katanya.

“Jadi tidak akan ada perbincangan. Penjenayah itu? Mereka perlu dimusnahkan,” tegasnya.  – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru