Struktur konkrit selamatkan 32 pintu Rumah Panjang Aping di Limbang daripada dijilat api

0
14

LIMBANG: Kepantasan angota bomba dan penyelamat, dibantu oleh binaan struktur separuh kekal berjaya menyelamatkan keseluruhan Rumah Panjang Aping di Jalan Mendamit dekat sini daripada musnah dijilat api petang semalam.

Dalam kejadian yang menyebabkan ramai yang panik itu, api lambat bergerak kerana kebanyakan struktur bangunan rumah itu yang diperbuat daripada konkrit.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Sufyan Borhan Sufyan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 5.46 petang daripada seorang penduduk rumah terbabit dan sebuah jentera, sebuah trailer tangki air, serta sebuah EMRS dan kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi bersama-sama kekuatan 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Limbang.

“Jentera tiba 22 minit kemudian dan mendapati kebakaran tersebut melibatkan lapan daripada 40 pintu rumah panjang jenis separuh kekal.

“Pasukan kemudian melakukan ‘fire breaker’ serta mengepung api terbabit daripada merebak ke pintu-pintu berjiran.

Api kemudian berjaya dikawal sekitar jam 8.48 malam, dan proses penyejukan dilakukan selepas itu.

Seorang warga emas, Aki Agam mengalami kecederaan di kepala dan pergelangan tangan sebelum menerima rawatan awal daripada pasukan EMRS.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Limbang untuk rawatan susulan.

Punca kebakaran masih disiasat pasukan forensik kebakaran dan anggaran kerugian masih belum ditaksir. – Sarawakvoice.com