Wednesday, June 29, 2022

Ops Sukma cekup peniaga tipu cap dagang di Boulevard Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Sebuah premis di pasar raya Boulevard dekat sini, diserbu pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak setelah didapati menjual barangan menggunakan cap jenama palsu.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Sarawak, Abd. Hafidz A. Rahim, pasukannya telah melakukan pemeriksaan tersebut sebagai sebahagian daripada Ops Sukma yang telah berlangsung lebih seminggu.

“Dalam kes ini, pegawai serbuan kita berjaya menghasilkan kes premis di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, setelah mendapati premis tersebut melanggar seksyen 8(2) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah barang-barang itu tertakluk kepada apa-apa hak yang berhubungan cap dagangan berdaftar.

Hafidz berkata, pasukannya kemudian melakukan sitaan ke atas sejumlah 470 unit t-shirt sukan pelbagai jenama tiruan dan warna.

“Kesemua nilai rampasan adalah sebanyak RM7003,” katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com.

Ops Sukma yang bermula pada 16 hingga 31 Julai ini dilancarkan bagi mengelakkan perniagaan tidak beretika sepanjang berlangsungnya Sukan Malaysia (Sukma)

“Antara barangan yang diberi keutamaan sepanjang Ops Sukma termasuklah kek lapis Sarawak, ikan terubok masin, kraftangan Sarawak, barangan sukan dan barangan tempatan lain.

“Ia penting bukan sahaja untuk menjaga imej negeri Sarawak tetapi memastikan kepentingan orang ramai terjamin sepanjang temasya sukan ini berlangsung.

Katanya, bagi orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung peniaga tidak beretika ini, boleh mengemukakan aduan kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 serta mengunjungi mana-mana pejabat KPDNKK seluruh negeri Sarawak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru