Tuesday, June 28, 2022

Ops Cantas Khas 2.0 untuk tangani jenayah terancang termasuk penembakan terbuka – Ahmad Zahid

Secara Rawak

KUCHING: Bagi menangani jenayah pembunuhan dan aktiviti kongsi gelap yang mendatangkan kebimbangan kepada rakyat di negara ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan Polis Diraja Malaysia untuk melaksanakan Ops Cantas Khas 2.0.

Menurutnya, biarpun Ops Cantas berlangsung setiap masa, namun fokus operasi terbaharu ini adalah untuk membanteras aktiviti jenayah terancang yang semakin berleluasa.

“Ini termasuk beberapa kejadian tembak sebelum ini dan yang terkini semalam membabitkan dua kumpulan kongsi gelap, yang berakhir dengan seorang mati ditembak di Jalan Genting Klang, Setapak,” katanya.

Kata Menteri Dalam Negeri itu lagi, usaha pembanterasan itu penting sebagai usaha untuk meningkatkan persepsi positif terhadap kebolehpercayaan dan kebolehupayaan polis.

“Sepanjang 2015, kadar (indeks) jenayah di seluruh negara menurun lebih 30 peratus, namun persepsi masyarakat tetap tidak meningkat, khususnya terhadap keupayaan PDRM dan agensi berkaitan memerangi jenayah.

“Ini perlu kita berikan perhatian… kena ada keseimbangan antara penurunan kadar jenayah dan peningkatan persepsi, khususnya kepercayaan rakyat terhadap usaha kerajaan mewujudkan persekitaran selamat di negara ini,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja seharinya ke Sarawak, di sini pagi tadi.

Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis sebelum itu meluangkan masa menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2016 Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sarawak.

zhhhz

Sebelum itu Ahmad Zahid turut mengadakan kunjungan Aidilfitri kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di kediaman mereka.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata, tahap keselamatan negara masih berada di tahap optimum dan pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga dalam memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara.

“Kita juga perlu memberikan penumpuan kepada usaha menaik taraf pagar dan tembok sempadan negara, terutama bagi tujuan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan senjata api dan barangan terlarang lain.

“Tembok sempadan kita kebanyakannya dibina pada era 1960-an dan disebabkan budaya penyelenggaraan bukan amalan kita, ia berada dalam kondisi yang kurang baik.

Katanya, pihaknya telah mengemukakan cadangan agar tembok sempadan negara yang segera dinaiktaraf, termasuk membabitkan aspek penyelenggaraannya.

“Kita cukup memahami beban kewangan dihadapi kerajaan, namun dalam konteks keselamatan negara dan ketenteraman awam, ia bukan sesuatu yang boleh dikompromikan.

“Dengan segala kekangan yang ada, soal keselamatan harus diberikan keutamaan. Apa makna kita memiliki ekonomi yang subur tetapi keselamatan tidak dapat dijamin dan sejahtera,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru