Monday, August 8, 2022

Mati dikubur 2 tahun lalu, isteri muncul di TV minta suami datang jemput

Secara Rawak

CASABLANCA: Sebaik sahaja menerima jenazah isterinya yang sudah terbungkus kafan dan dikemas dalam peti mati pada 2014, Abragh Mohamed terus mengebumikan isterinya di pergunungan Azila di Maghribi.

Namun, keajaiban berlaku dua tahun kemudian pada Mac 2016, apabila isterinya itu tiba-tiba muncul di televisyen dalam rancangan “al-Mujtafun” (Hilang).

Rancangan al-Mujtafun merupakan acara jejak kasih yang cuba menyatukan semula anggota keluarga yang terpisah atau hilang di sekitar Maghribi, negara di utara benua Afrika.

Wanita yang persis nama isterinya itu menelefon program tersebut, memberi nama suami dan alamat bekas rumahnya.

Dia kemudiannya meninggalkan alamat kediamannya, agar suaminya dapat menjemputnya pulang rumah.

Wanita itu mengaku, sudah terputus hubungan selama dua tahun dengan suaminya. Dia berharap suaminya Abragh mencarinya di Azila.

Menurut Independent, Abragh tidak menonton rancangan tersebut sebaliknya dia diberitahu oleh rakannya yang lain.

“Saya tidak tahu kalau kami menerima jasad yang berbeza. Kami mengubur dia, tapi rupanya isteri saya ternyata masih hidup,” ujar Abragh yang masih menduda.

Dua tahun lalu, Abragh ingat betul pada hari ketika dia menerima berita isterinya terlibat nahas kemalangan semasa menaiki bas di kawasan lereng gunung.

Isterinya cedera parah dan segera dikejarkan ke hospital Ibn Rochd di Casablanca. Doktor memberitahu, harapan untuk isterinya hidup adalah tipis.

Meskipun begitu, waris perlu membayar sejumlah wang untuk rawatan isterinya.

Abragh segera pulang ke rumah di pergunungan terpencil yang mengambil masa empat jam.

Ketika datang semula di hospital berkenaan, kakitangan hospital memberitahu, isterinya tidak dapat diselamatkan dan sudah meninggal dunia.

“Saya menerima jasadnya yang sudah terbungkus kain kafan dan dikemas dalam peti mati,” ujar Abragh kepada akhbar Nuevo Dia dengan mengingat kembali detik 2014.

Jenazah isterinya itu dikebumikan di daerah perkampungan pergunungan Azila.

“Saya tidak tahu, rupanya bukan jenazah isteri yang dikebumikan itu, dan rupa-rupanya dia masih hidup,” kata Abragh.

Apabila kisah pelik ini tersebar di internet sekitar Mac lepas, warganet bertanya-tanya, ke manakah isteri Abragh menghilang diri selama dua tahun ini?

Mengapa dia baru mencari keluarganya sekarang?

Serta tercetus persoalan baru, siapakah mayat yang dikebumikan oleh Abragh dua tahun lepas itu?

The Thelegrap mengatakan, pihak berkuasa meminta keterangan daripada pihak yang terlibat, bagaimana awal mula berlakunya kesilapan tersebut?

Tindakan Abragh terus mengebumikan jenazah isterinya sebaik sahaja menerimanya dari hospital, dan tidak memeriksa terlebih dahulu menimbulkan pertikaian warganet.

Laporan awal menyebut, isteri Abragh telah hilang ingatan dalam tragedi nahas bas tersebut.

Selama dua tahun, dia tidak ingat nama, dan asal-usulnya serta langsung tidak mengenali dirinya sendiri.

Setelah ingatannya pulih semula, dia segera mencari suaminya itu. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru