Konspirasi jatuhkan PM: Tuduhan  jahat dan berat

0
7

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar  menyatakan tuduhan yang dilemparkan oleh Pemuda Umno terhadap tiga orang individu sebagai jahat, biadab, kurang ajar dan berat.

Datuk Mahfuz OmarMahfuz menyifatkan tuduhan tersebut sebagai serangan dan ugutan politik terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan seluruhnya.

Kelmarin, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun  memfailkan laporan polis di  Ibu Pejabat Polis  Daerah Dang Wangi  terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz,  bekas Peguam Negara, Tan Sri Abd Gani Patail, dan  Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Laporan polis dibuat terhadap tiga individu terbabit atas dakwaan cuba menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kata Mahfuz dalam satu kenyataan, tuduhan terhadap  tiga  individu terbabit yang  didakwa menjual dokumen maklumat siasatan dan kepada Amerika Syarikat termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tidak masuk akal kerana mereka telah banyak berjasa dan mencurah bakti pada negara.

“Saya terkejut dengan laporan yang dibuat ke atas ketiga-tiga mereka. Mereka ini telah banyak berjasa, menyumbang untuk mengangkat martabat negara dari sudut ekonomi dan kewangan, perundangan dan memerangi rasuah.

“Tuduhan Pemuda Umno dan Umno yang Abu Kassim, Zeti dan Gani sebagai berkomplot dengan Amerika Syarikat untuk menggulingkan Najib dan kerajaan sebenarnya adalah satu pengisytiharan perang terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan.

Beliau memuji tiga tokoh berkenaan dan menyifatkan perkara yang dilakukan oleh mereka semata-mata kerana mencintai Malaysia.

Katanya, perkara yang dilakukan oleh tiga individu berkenaan didorong oleh keberanian kerana kebenaran.

“Mereka ini pegawai serta kakitangan kerajaan jujur,ikhlas dan berintegriti,” katanya. – Sarawakvoice.com