Kerajaan akan terus lindungi keselamatan rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri sekali lagi memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah yang perlu bagi melindungi  keselamatan mereka.

Di tengah-tengah ancaman terbaharu oleh pengganas di seluruh dunia yang sememangnya nyata dan semakin menular, Datuk Seri Najib Razak berkata tiada hari yang berlalu tanpa keganasan, dan Malaysia turut tidak kalis daripada ancaman berkenaan.

“Kita tidak terkecuali di Malaysia kerana serangan pertama oleh militan IS terhadap kita pada bulan lepas menunjukkan ancaman itu wujud,” katanya.

Kata Najib, ini adalah waktunya  untuk rakyat bersatu dan memainkan peranan lebih besar bersama-sama komuniti dunia  bagi memerangi keganasan.

Untuk itu, kata Perdana Menteri, beberapa undang-undang telah diperkenalkan  berikutan permintaan daripada pasukan keselamatan, iaitu  Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Majlis Keselamatan Negara.

“Undang-undang ini adalah perlu, dan negara-negara lain sejak itu telah mengikut jejak langkah kita,” katanya.

Najib menegaskan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara, khususnya, telah sengaja disalah tafsir dan dikritik oleh pihak yang sengaja menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat untuk tujuan politik.

“Ia tidak sama seperti pengisytiharan darurat di seluruh negara – bahawa kuasa kekal di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong – dan Parlimen masih bersidang dengan mengawasi mana-mana kawasan keselamatan yang diisytiharkan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kerajaan saya tidak akan meminta maaf kerana lebih mendahulukan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya. – Sarawakvoice.com