Monday, August 8, 2022

Iphone yang selamatkan sebuah negara ditawar harga RM1 juta

Secara Rawak

ANKARA: Ketika Istanbul kacau, dikepung tentera kudeta dengan jet tempur terbang rendah, dan kerajaan seolah-olah menyorok, penyampai berita CNN Turki, Hande Firat mencari di mana presiden berada ketika itu.

Firat yang juga Ketua Biro CNN Ankara di Turki, tertanya-tanya mengapa Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan belum bercakap?

Logiknya, ketika itu sistem telekomunikasi telah dilumpuhkan tentera pemberontak.
Firat cuba menghubungi setiausaha presiden melalui telefon selular peribadinya dan minta disambungkan dengan Erdogan.

ipone t

“Saya dimaklumkan dia sedia membuat pengumuman melalui media, tetapi ketika itu di tempatnya berada itu juga sedang diserang pemberontak.

“Para wartawan pasti tidak berani hadir di lokasi presiden ketika itu,” kata Firat dipetik dari Middle East Monitor, Ahad lepas.

Untuk kepentingan sebuah negara dan rakyat, Firat dengan beraninya mendesak setiausaha presiden memujuk Erdogan agar melakukan sidang panggilan video (video call).
Akhirnya Erdogan muncul melalui aplikasi Facetime iPhone dan bersedia memberikan kenyataan.

Erdogan mendesak rakyatnya dalam bahasa Turki, “Pergi ke jalan raya dan beri mereka (pemberontak) jawapan”, sambil jurukamera televisyen merakam panggilan video Facetime tersebut.

“Saya akan datang ke dataran Ankara,” kata Erdogan dan kemunculan Erdogan membuktikan beliau selamat dan masih berkuasa.
Hal ini menyemarakkan gelora rakyat dan membakar semangat penyokongnya yang dalam ketakutan.

Siaran langsung panggilan video Facetime itu akhirnya menyatukan rakyat.
Media sosial termasuk Facebook dan Twitter seterusnya memainkan peranan penting menggagalkan cubaan kudeta oleh tentera pada malam tersebut.

Firat menarik nafas puas kerana panggilan videonya pada saat genting mampu menyelamatkan sebuah negara.

Namun, selepas itu dia tidak menyangka usahanya menggunakan telefon selular itu mendapat perhatian hartawan warga Arab Saudi.

Hartawan, Abu Rakan sanggup membayar harga mahal untuk sebuah telefon yang berjasa kepada sebuah negara berdaulat.

Abu Rakan sanggup membeli iPhone Firat dengan harga AS$250,000 (RM1 juta) semata-mata kerana telefon pintar itu pernah memunculkan wajah Erdogan secara langsung di televisyen ketika berlaku asakan kudeta tentera.

Namun, untuk tawaran lumayan itu, Firat menegaskan berapa pun harga yang ditawarkan, dia tidak akan menjual telefon tersebut.

Namun, Firat sedia melepaskan telefon selular itu untuk disumbangkan kepada Muzium Nasional Turki. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru