Friday, December 2, 2022

Badang Pahang Fazrul Azrie pecah rekod angkat berat kebangsaan

Secara Rawak

Badang Pahang menggamatkan Dewan Jubli UiTM Kota Samarahan hari ini apabila berjaya mencipta angkatan yang memecah rekod kejohanan dan kebangsaan – dalam kategori snatch serta clean & jerk angkat berat lelaki tidak melebihi 85kg.

Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, 21 tahun, yang sebelum ini mengutip emas di Perlis pada 2014 dalam acara snatch seberat 135kg, melakukan angkatan rekod kebangsaan 150kg pada cubaan ketiga, setelah berjaya mengangkat beban 135 kg pada cubaan pertama dan 143kg pada cubaan kedua.

badang

Rekod kejohanan acara tersebut dipegang oleh atlet kebangsaan dari Terengganu , Abdul Mubin Rahim dengan angkatan seberat 140kg pada Sukma 2010 manakala rekod kebangsaan dipegang atlet Angkatan Tentera Malaysia seberat 142kg di Pulau Pinang pada tahun lalu.

Pingat perak pula dimenangi Cliff Howard Jamadin dari Sabah yang berjaya mengangkat bebanan 128kg manakala Muhamad Afifi Haikal Nordin dari Kelantan mencipta angkatan 127kg untuk gangsa.

Dalam acara clean & jerk, Fazrul Azrie sekali lagi mengulangi kecemerlangan apabila memadamkan catatan 175kg milik Abdul Mubin Rahim dengan mengangkat 176kg pada cubaan kedua.

Perak turut dimenangi Cliff Howard dengan angkatan 158 kg manakala gangsa Afifi Haikal dengan angkatan 156 kg.

Sementara itu, bagi acara angkat berat tidak melebihi 63kg wanita, Nur Atikah Mohamad Sabri daripada Wilayah Persekutuan bagai berada dalam kelas tersendiri apabila mengutip emas acara snatch dengan angkatan 78kg.

Perak dimenangi Elister Dolores (Sabah) yang mengangkat 64kg dan Nurul Izzati Ab Razak dari Kelantan memperoleh gangsa dengan angkatan 56 kg.

Bagi acara clean & jerk, Atikah terus berada di hadapan dengan angkatan seberat 95kg untuk emas kedua peribadinya manakala Elister dengan angkatan 77kg untuk perak dan Izzati memperoleh gangsa dengan angkatan 77 kg.

Secara keseluruhan dalam acara angkat berat, Sabah mendahului senarai pungutan pingat dengan memperoleh empat emas, empat perak dan empat gangsa, diikuti Terengganu (tiga emas, empat perak dan empat gangsa) serta Pahang (tiga emas, empat perak dan satu gangsa). – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru