Wednesday, June 29, 2022

Tingkatkan elemen kejiranan dan jaga tepi kain untuk tangani kemelut sosial – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg malam tadi menggesa masyarakat di kawasan perumahan dan perkampungan di bandar raya ini meningkatkan elemen “kejiranan” dan mengakrabkan hubungan bagi menangani kemelut sosial yang sedang melanda.

Menurutnya, penting untuk amalan “menjaga tepi kain orang” dihidupkan semula, bagi menyemarakkan sikap ambil peduli masyarakat.

“Untuk tujuan ini, pertubuhan bukan kerajaan seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) boleh memainkan peranan penting dengan mewujudkan ‘ikatan erat’ dari segi sosial, termasuk mengenali rapat jiran di kawasan kediaman masing-masing,” katanya sewaktu merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Gabungan KRT N8 Satok di Dewan Datu Merpati Jepang, dekat sini malam tadi.

ajj2

Katanya, atas status sebagai “bandar raya”, Kuching berhadapan banyak cabaran dan ini termasuk peningkatan kadar jenayah berupa rompakan, ragut, culik, rogol dan sebagainya.

Oleh itu, kata Menteri Perumahan dan Urbanisasi Negeri ini lagi, warga KRT boleh membantu menangani masalah ini dengan meningkatkan sistem komunikasi sesama jiran, agar bantuan segera boleh dihulurkan segera melalui komuniti, jika berlaku sesuatu musibah, mahupun ancaman.

Mengenai kawasan tadbirannya di Dewan Undangan Negeri Satok, Abang Johari berkata, kawasan tersebut yang ditakrifkan sebagai “urban” kini menerima kehadiran besar-besaran penduduk dari luar bandar yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

“Malah terdapat ekspatriat dan pekerja asing dari luar negara yang berkhidmat di negeri ini menetap di kawasan kita.

“Sehubungan itu, penting untuk kita sebagai penduduk dan juga warga KRT mengambil tahu akan perkembangan sesama jiran serta saling mengenali antara satu sama lain.

Setiap tahun katanya, akan ada peruntukan khas yang disediakan oleh pihaknya untuk KRT ini bagi menjalankan kegiatan dan aktiviti di kawasan masing-masing.

“Melalui peruntukan ini, saya berharap banyak program diadakan, yang dapat memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan ini selain mengeratkan hubungan silaturrahim sesama penghuninya,” katanya lagi. – Sarawakvoice.com

ajj

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru