Tuesday, June 28, 2022

Bersekongkol dengan FBI, Zeti Akhtar lantik peguam untuk jawab tuduhan Pemuda UMNO

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz malam tadi, enggan memberi sebarang komen, sebaliknya akan mendapatkan khidmat peguam bagi menjawab tuduhan menyerahkan dokumen sulit kerajaan berkaitan 1MDB kepada pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Tuduhan tersebut dilakukan oleh Pergerakan Pemuda UMNO, menerusi Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun di Balai Polis Dang Wangi.

“Saya tidak akan berkata apa-apa tanpa peguam saya,” katanya.

Khairul dalam laporannya mendakwa Zeti terlibat dalam satu konspirasi menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak serta kerajaan.

Turut dinamakan dalam laporan itu ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Zeti, 69 tahun merupakan anak kepada Profesor Diraja Ungku Aziz dan Azah Aziz, merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia.

Pada 13 September 2010, beliau terpilih sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh majalah Global Finance.

Dilahirkan di Johor Bahru, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya pada 1958, Zeti memperoleh ijazah sarjana muda Ekonomi dalam bidang Ekonomi Analitikal pada tahun 1970, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa pada 1978.

Beliau memulakan kerjaya sebagai penyelidik ekonomi di Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Bank Pusat Asia Tenggara pada tahun 1979 hingga 1984 sebelum dilantik sebagai Penolong Pengurus Jabatan Ekonomi di Bank Negara Malaysia.

Pada tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia sebelum pada 1 September 1998, dilantik sebagai Pemangku Gabenor Bank Negara Malaysia selepas Datuk Ahmad Mohd Don mengundurkan diri.

Pada 1 Mei 2000, beliau dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh dan wanita pertama dilantik dalam jawatan tersebut.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Berhad selain menjadi Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad sejak tahun 2004.

Pada 20 April 2011, beliau telah dilantik semula sebagai Gebenor Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Mei 2011.

Sementara itu, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menyifatkan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia hanyalah muslihat untuk mencari publisiti.

“Dakwaan sembrono ini merupakan muslihat mencari publisiti tanpa asas.

“Percubaan membunuh perwatakan akan hanya mencetuskan tindak balas dan melemahkan kerajaan pada jangka panjang,” katanya kepada Bernama.

Abdul Gani selanjutnya menegaskan beliau sentiasa bertindak profesional dalam menjalankan tugas dan akan terus bertindak sedemikian dalam setiap usaha masa hadapannya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru