Monday, June 27, 2022

Tiga penuntut universiti disyaki miliki ganja mampat seberat 376 gram

Secara Rawak

KUCHING: Tiga penuntut semester empat sebuah universiti awam di Kota Samarahan ditahan polis Jumaat lalu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memiliki dan mengedar dadah.

Ketiga-tiga mereka termasuk seorang wanita yang berusia sekitar 20 hingga 23 tahun ditahan oleh sepasukan anggota siasatan jenayah narkotik negeri yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Kota Samarahan mereka sekitar tengah malam.

Turut ditemui bersama-sama mereka ialah beg galas berwarna kelabu yang mengandungi satu plastik berisi tiga ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah jenis ganja seberat 266.37gram.

“Polis turut menemui beg berzip bercorak bunga yang turut mengandungi sembilan paket plastik  berisi dadah yang sama, seberat 100.89gram,” menurut sumber polis.

Penangkapan ini merupakan kejayaan kali ketiga melibatkan penuntut universiti di negeri ini, setelah dua kes terdahulu melibatkan pelajar dari negara asing.

Menurut sumber itu lagi, siasatan lanjut mendapati dua suspek lelaki tersebut diuji positif dadah jenis amphetamin.

Ketiga-tiga mereka yang berasal dari Kuching, Kota Samarahan dan Bintulu mendakwa menerima bekalan dadah tersebut dari seorang lelaki Melayu yang tidak dikenali di kawasan Demak.

Kesemua mereka kini menjalani tahanan reman bagi membantu siasatan kes.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit boleh membawa kepada hukuman penjara hingga kepada gantung sampai mati mandatori.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintenean Lukas Aket dijangka akan mengadakan sidang media mengenai kes ini pagi ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru