Saman fitnah; Papagomo  perlu bayar RM800,000 kepada Anwar

PUTRAJAYA:  Papagomo perlu bayar RM800,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Demikian keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan perintah bayaran ganti rugi Blogger  Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali sebagai Papagomo terhadap Ketua Umum Keadilan.

papagomoHukuman itu  ekoran penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar  dalam video seks di blog berkenaan.

Keputusan itu, lapor Selangorkini,  dibuat susulan panel tiga hakim yang menolak permohonan kebenaran beliau untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pada 28 Februari 2014, Wan Muhammad Azri diperintahkan membayar ganti rugi RM800,000 kepada Anwar selepas mahkamah mendapati beliau selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya dan Wan Muhammad Azri adalah ‘Papagomo’.

Mahkamah juga memerintahkan Wan Muhammad Azri selaku defendan membayar kos sebanyak RM50,000 kepada plaintif.

Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta pada 21 Mac 2013 kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.