Friday, September 30, 2022

Pembantu perubatan maut kereta bertembung van di Sadong Jaya

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Seorang pembantu perubatan di Klinik Kerajaan Sadong Jaya maut apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van yang membawa penumpang.

Ketua Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Alexson Naga berkata, dalam kejadian sekitar 2.30 petang ini, kenderaan yang dipandu Felicia Timna Martin Gedom, 24 tahun, sedang dalam perjalanan dari Sadong Jaya menuju ke Samarahan manakala van tersebut dari haluan bertentangan.

“Ketika tiba di satu selekoh di kilometer 22, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, kenderaan yang dipandu Felicia gagal dikawal lalu memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh oleh van berkenaan.

“Akibat rempuhan tersebut, van tersebut remuk di sebelah kiri dengan mangsa hampir tercampak keluar.

“Mangsa yang berasal dari Rumah Panjang Berbanggai Kiba, Betong bagaimanapun maut di tempat kejadian,” katanya.

Pemandu van, seorang lelaki berusia 50 tahun dari Beladin tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut saksi di lokasi, rakan-rakan mangsa dari klinik berdekatan berusaha untuk memberi rawatan kecemasan, namum usaha itu gagal.

Alexson berkata lagi, kes ini masih dalam siasatan dan diklasifikasikan di bawah
Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru