Friday, August 12, 2022

PAS  sangkal tuduhan ia membisu  berkaitan 1MDB

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  PAS menafikan  tuduhan  kononnya  parti itu  membisu berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  dan menyifatkannya  sebagai  propaganda, cetusan sensasi dan publisiti murahan pihak yang terdesak untuk mencalar kewibawaan PAS.

“Hakikatnya, ketika banyak pihak tergopoh-gapah, emosi dan tidak memahami isu sebenar, PAS tenang dan paling terkehadapan menanggapi isu serta permasalahan ini secara matang mengikut lunas pentadbiran, perekonomian dan undang-undang yang selaras,” kata  HarakahDaily.

Lidah rasmi parti Islam itu berkata, PAS tetap berpegang kepada prinsip Islam dan terma universal bahawa setiap tuduhan penyelewengan atau salah guna kuasa mesti disiasat secara telus. Setiap penyiasatan mesti dikemukakan bukti, seterusnya dihadapkan kes untuk diadili, di mana tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Sebaliknya, jika wujud kesilapan pengurusan pelaburan dan kewangan atau salah jangkaan pelaburan, maka penambahbaikan dan kebertanggungjawaban pihak yang berkenaan perlu diberikan perhatian, serta hak pihak tertentu atau rakyat umum dikembalikan,” katanya.

Kelmarin , Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi peringatan agar pihak asing tidak campur tangan dalam siasatan terhadap skandal dana 1MDB.

Katanya, kes 1MDB perlu disiasat secara adil dan telus serta tidak boleh dibiarkan. Namun jangan dedah ruang kepada pihak asing untuk campur tangan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali  pula menggesa supaya dokumen berhubung 1MDB yang ketika ini berada di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) agar diklasifikasikan semula. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru