Friday, August 19, 2022

Kerajaan Sarawak swastakan pengurusan taman negara untuk kualiti

Secara Rawak

KUCHING: Tiga buah taman negara di negeri ini akan terlibat dalam projek perintis “penswastaan pengurusan” yang dijangkakan bermula pada awal tahun hadapan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, tiga taman negara tersebut ialah Taman Negara Bako, Gua Angin dan Gua Fairy di Bau serta Taman Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggok.

abg jo“Penswastaan ini hanya melibatkan operasi dan pengurusan taman-taman ini, bagi meningkatkan taraf perkhidmatan yang diberikan.

“Dan kita akan menjadikan Taman Tunku Abdul Rahman dan Taman Negara Kinabalu sebagai model pelaksanaan proses ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan penswastaan tersebut di pejabatnya semalam.

Timbalan Ketua Menteri berkata, proses ini tidak akan melibatkan aset-aset hutan, yang masih diselenggarakan oleh Sarawak Forestry Corporation dan Jabatan Hutan negeri.

“Sektor swasta yang dipilih akan menyediakan kemudahan-kemudahan yang memberi keselesaan kepada pengunjung dan pelancong alam semula jadi.

“Ini termasuk menggunakan paparan papan tanda digital dan kiosk elektronik sebagai daya tarikan.

Pada masa yang sama katanya, syarikat terbabit juga perlu menyediakan khidmat pemandu pelancong yang mahir tentang flora dan fauna yang ada di sekitar kawasan taman negara tersebut.

“Ini bukan bermakna, kita mengkomersialkan seluruh taman negara ini.

“Kita hanya memberi elemen bisnes, agar ia ada daya penarik dan mampu menangkap minat para pelancong.

“Meski ada elemen perniagaan, termasuk penjualan cenderamata, namun aspek-aspek lain termasuk aset masih di bawah jabatan dan agensi yang berkaitan,” tambahnya lagi.

Bagi menjayakan proses ini katanya, kajian sedang dilaksanakan dan laporan lengkap mengenainya dijangka akan dapat dikemukakan kepada kerajaan selewat-lewatnya Disember depan.

Selepas kajian tersebut katanya, garis panduan baharu akan disediakan untuk semua operator swasta Taman Negara, termasuk di Mulu, bagi membolehkan ia dilaksanakan dengan kualiti yang tinggi, dan memberi pulangan positif kepada kerajaan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru