Saturday, December 3, 2022

Kerajaan Campuran Selepas PRU ke-14 sahaja

Secara Rawak

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Perkembangan semasa politik tanah air menyaksikan semakin banyak kerjasama politik sedang direncanakan di Malaysia.

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih aktif berpolitik telah mengumumkan sebuah pakatan baharu akan dibentuk untuk bersaing dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 akan datang.

PAS dilaporkan dalam media massa sedang ‘tunggu dan lihat’ perkembangan semasa sebelum membuat keputusan.

Sebuah pakatan pembangkang yang baharu dengan nama Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) terdiri daripada tujuh buah parti tempatan (STAR; PBDS Baru; SAPU; Perpaduan; MUPP; PKS; PAP) juga telah dilancarkan di Sarawak baru-baru ini.

Respons daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail adalah mereka sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama sekiranya boleh mencapai konsensus.

Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan Parti Amanah Negara (Amanah) juga pastinya sedang meneliti semua alternatif yang ada untuk tampil sebagai pasukan yang terbaik untuk berdepan dengan BN pada PRU Ke-14.

Tidak lupa ura-ura kerjasama UMNO–PAS meskipun belum ada sebarang ketetapan yang diumumkan oleh kedua-dua pihak.

Apakah reaksi atau tindakan yang akan diambil oleh parti-parti komponen BN sekiranya kerjasama UMNO-PAS benar-benar berlaku belum ada sebarang indikator lagi?

Mungkin yang boleh dijadikan petunjuk hanyalah respons sebulat suara daripada parti-parti komponen BN terhadap tindakan mengejut daripada Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadang dan disokong oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam isu Rang Undang-undang yang dibawa oleh PAS dalam sidang Parlimen.

Tiada sebarang indikator yang konkrit boleh dilihat buat masa ini.

Apakah kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim layak dibebaskan baik di bawah sistem parol mahupun pengampunan mulai tahun depan merupakan seperkara lagi tidak boleh diabaikan kerana dengan kehadiran beliau pastinya akan merancakkan lagi suasana.

Siapakah yang bakal memperoleh faedah paling besar daripada semua ini tiada jawapannya lagi jika berpandukan keadaan semasa, tetapi yang pasti percaturan politik sudah tidak seperti dulu.

Yang pasti hanyalah besar kemungkinan semua ini akan menjurus kepada pembentukan kerajaan campuran selepas PRU ke-14.

Ini berikutan nampak gaya semacam ada yang sedang mengalu-alukan penyertaan daripada proksi lawan politik mereka sebelum ini untuk mengusahakan kerjasama baharu yang akan dibincangkan.

Masing-masing hanya menunggu keterbukaan hati untuk duduk berbincang sebarang prospek kerjasama yang ada.

Bukan konsep ‘plus’ (+) atau ‘friendly’ yang dimaksudkan tetapi kerjasama dalam bentuk kerajaan campuran sebelum penubuhan BN pada 1974 seperti persetujuan SUPP bekerjasama dengan Perikatan Sarawak untuk membentuk kerajaan campuran di Sarawak pada tahun 1970; Gerakan dengan Perikatan di Pulau Pinang (1972); Parti Progresif Rakyat dengan Perikatan di Perak (1972); dan PAS dengan Perikatan di negeri Kelantan, Terengganu, dan Kedah (1973)

Keadaan ini juga memperingatkan jangan ada pemimpin atau individu yang terlalu angkuh menuduh sewenang-wenangnya ‘pasukan sahabat’ mereka sebagai menumpang ihsan atau merupakan liabiliti kepada parti mereka kerana berkemungkinan sebaliknya.

Teka-teki ini barangkali tidak juga akan lama berpanjangan untuk mengetahui jawapannya kerana saban hari politik tanah air nampak makin rancak dan pihak-pihak terlibat nescaya mahu meluahkan kepada umum pendirian masing-masing terutama berkenaan hala tuju parti mereka sebagai persiapan menghadapi PRU ke-14.

Apa yang penting ialah konsensus yang telah dicapai perlulah dihormati oleh semua pihak yang terlibat. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru