Tuesday, August 16, 2022

Jen Siow tidak mahu mati senyap, mahu nama tersohor

Secara Rawak

“Tetapi saya masih dahagakan pencapaian dan tidak mahu “mati senyap”. Saya telah mencipta nama dalam industri ini agak lama dan saya mahu terus menjadi wira biarpun dengan kekurangan ini, selama yang boleh.”

Jen berusia 61 tahun pada September ini. “Ketika rusuhan kaum pada 1969 saya dalam tingkatan 4. Ayah saya merupakan imigran Cina yang datang dari selatan tanah besar. Pada masa dahulu, apabila golongan imigran ini datang, mereka lazimnya ditaja oleh usahawan Cina tempatan. Mereka terikat kepada usahawan ini sehinggalah kos penajaan itu, termasuk tiket dan sebagainya langsai.

“Ayah saya amat bertuah kerana dia diikat oleh seorang artis cat air yang tersohor di negara ini, Yong Mun Sen. Dari situlah dia belajar fotografi dan lukisan di studio lukisan. Dan dia belajar dan bekerja di situ sehingga ikatan itu tamat, dan kemudian membuka studio sendiri.

“Saya pula bertuah kerana dia benarkan saya belajar di luar negeri. Kalau tidak, kehidupan saya pasti berbeza.”

Jen buta disebabkan jangkitan penyakit mata yang dinamakan retina pigmentosa atau dalam bahasa pasarnya, penglihatan terowong.

“Saya hanya nampak tengah, tetapi tidak di sisi dan tepi. Saya menderitai penyakit ini untuk lebih 20 tahun. Setiap tahun jumlah penglihatan saya semakin berkurang – menjadi lebih mencabar untuk saya, semakin sukar untuk bergerak sekeliling, dan sebagainya. Sekarang saya tidak boleh bergerak sendirian kerana saya akan melanggar sesuatu dan sebagainya.

“Saya masih bekerja kerana saya masih boleh melihat. Saya tidak buta sepenuhnya. Itu yang bezanya.

Tetapi dalam industri periklanan, mereka beranggapan Jen sebagai seorang buta, dan beliau mula kehilangan semua perniagaan dan potensi perniagaan.

“Sebab itu sekarang saya menukar pengkhususan saya dengan membuat potret. Dan saya bekerja dengan hanya seorang klien di dalam studio dan dalam persekitaran yang selamat. Saya tidak takut.

“Tetapi kalau anda mahu saya menjalankan produksi berskala besar, susah sedikit kerana terpaksa banyak bergerak.

Produk baru Jen ini amat unik kerana ia merupakan hibrid fotografi dan lukisan.

“Saya rakam dahulu dan selepas itu melukis di atasnya. Ini merupakan yang asli dan bukannya fail digital yang boleh dibuat salinan. Ia merupakan hasil seni.

“Oleh kerana pengalaman saya selama 40 tahun dalam fotografi, saya sangat berkesan dan berkebolehan dalam bercakap dengan orang, memahami mereka dan merakam gambar mereka untuk menjadikannya potret yang sangat cantik.”

Seni potret merupakan rakaman perwatakan individu. Ia hanya dapat dilakukan itu jika si pelukis memahami subjeknya.

“Orang itu perlu menyukai anda dan bercakap dengan anda, kalau tidak, bagaimana anda mengenali orang itu. Ia bukan bersifat orang datang dan terus buat gambar. Model perniagaannya lain. Kalau anda berminat untuk membuat potret, anda perlu duduk dan berkongsi kehidupan bersama saya. Kita bercakap dan ketawa, saya memahami dan barulah saya mula bekerja. Siapa individu ini? Bagaimana dunia melihat dia. Selepas itu barulah saya mereka bentuk dan merakam gambar tersebut.”

Bagi Jen, kerjaya barunya ini mengadunkan kemahiran berfikir dan psikologi sebelum menghasilkan sesuatu potret. Ia bukan sekadar mengambil gambar!

“Saya berkecimpung 30 tahun dalam bidang pengiklanan. Saya telah melahirkan banyak karya — yang anda lihat pada billboard dan majalah.

“Saya bukan merakam model-model jelitawan sahaja.. tetapi juga model untuk produk kosmetik komersial seperti Garnier, Loriel, Maybeline.

“Saya juga berkreatif untuk makanan — untuk syarikat seperti Nestle. Manakala di studio, kita merakam kenderaan seperti Toyota, Nexus.

Menurut Jen, dalam pengiklanan seseorang itu melakukan pelbagai perkara.

“Suatu ketika dulu, sewaktu iklan rokok dihalalkan, saya membuat rakaman untuk Dunhill.

Semua komersial tv Dunhill saya buat. Begitu juga dengan arak. Poster arak di kedai kopi….semuanya saya buat. Hinggalah kerajaan membuat keputusan tidak membenarkan poster-poster sedemikian lagi.

Jen membuat kerja-kerja pengiklanan ini sehinggalah tiba-tiba penyakitnya muncul. Dan pesaingnya melaungkan … “Jen kini buta!” Jadi beliau mula kehilangan perniagaannya.

“Apabila saya hilang kerja, saya sedar bahawa satu bab dalam kehidupan saya telah tertutup. Saya perlu membuka halaman baru. Untuk membuka halaman baru, saya perlu memikirkan secara mendalam — apa yang boleh saya lakukan! Apa kelebihan saya?

“Setelah bermuhasabah, saya dapati bahawa bakat dan kemahiran saya adalah untuk menjadikan seseorang wanita itu kelihatan anggun dan cantik. Untuk sekian lama ini saya merakam foto model, bukan orang biasa. Orang biasa tidak sama…mereka tidak tahu macam mana posing.

Itu adalah cabaran baru yang perlu beliau kuasai. Ia umpama memulakan kehidupan yang baru.

“Saya kena belajar bagaimana bercakap dengan orang biasa, memahami mereka. Saya harus membuat mereka menyakini dan menyukai saya. Setelah itu saya perlu memujuk mereka agar relaks dan santai sebelum saya dapat mencungkil kecantikan semulajadi mereka.

Ia bukan seperti fotografi biasa, kata Jen. Kalau biasa, seseorang itu hanya perlu menekan punat kamera setelah selesai mencari komposisi.

“Sebaliknya, ini berkait rapat dengan psikologi. Ia membolehkan setiap wanita ‘merasai’ diri mereka dan menaruh keyakinan terhadap diri sendiri. Kegembiraan bagi saya adalah apabila mereka tampak gah.”

Pada awalnya dedah Jen, semuanya tidak boleh . Tetapi dengan bimbingan yang diberinya, mereka (klien) dapat memberikan ekspresi dan kedudukan yang kekal sama seperti biasa, tetapi dengan eye contact yang berbeza untuk dirinya dan kamera.

“Ia memberikan saya kegembiraan yang amat. Ia menyedarkan saya bahawa apa yang saya kejar selama ini bukanlah wang ringgit, tetapi menghadirkan kegembiraan kepada orang melalui gambar-gambar saya. Inilah fasa seterusnya dalam kehidupan saya…saya sekarang sudah 60 lebih tahun. Saya cuma mahu itu…buat orang gembira melalui fotografi saya. Ia juga menyebabkan saya gembira.”

Jen berkata, dia mengadunkan fotografi dan lukisan catan pada karya potretnya sejak lima tahun lalu, katanya sambil menayangkan potret Tunku Khadijah, puteri sulung kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj. Karya eksklusif tersebut bernilai RM25 ribu.

Menurutnya, saiz potret turut memainkan peranan dalam penentuan harga. Potret Tunku Khadijah misalnya, mengambil kira saiz wajah sebenarnya.

“Potret ini dihasilkan untuk diwarisi kepada generasi seterusnya. Apabila mereka telah tiada kelak, generasi seterusnya akan menggantung potret ini di rumah mereka seolah-olah beliau masih hidup di sana. Kerana itu saya menghasilkan pada skala yang sama. Dan saya menghasilkan bentuk 3-D agar ia kelihatan hidup. Itulah nilai sebenar karya lukisan saya ini. Nilainya semakin bertambah jika individu tersebut tiada lagi di situ.

“Ada antara klien saya yang datang dan mereka merenung potret mereka yang saya hasilkan. Saya tahu mereka sangat gembira. Dia tidak pernah melihat dirinya seperti itu.

Tetapi melalui sudut pandang artis, bagaimana saya melihat seseorang individu itu.
Menurut Jen, dia melakukannya beberapa kali dan mereka (klien) hanya duduk diam beberapa kali di dalam studio. ” Merenung gambar mereka sendiri…banyak masa habis di situ. Itu yang membuatkan saya gembira. Mungkin juga kerana usia saya dan pengalaman saya yang panjang dalam dunia pengiklanan.

Perkara ini juga menurutnya didorong oleh asas kehidupannya sendiri.

“Saya bukan menyertai perniagaan kerana survival, tetapi untuk melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang yang saya ceburi.

“Saya cabar diri, apa lagi yang saya boleh capai!”

Menurutnya, rakyat Malaysia ini kebanyakannya pemalu biarpun banyak yang berkebolehan.”

Mereka segan untuk menonjolkan bakat mereka kepada dunia. Jadi saya mahu jadi lain daripada yang lain.

Dahulu kata Jen, dia pergi ke Amerika Syarikat untuk belajar dan menghadiri bengkel. Pada masa itu saya masih muda, dan belajar tentang banyak perkara yang baru.

“Tetapi selepas suatu ketika, saya sedar bahawa 95 peratus daripada apa yang penceramah kata saya sudah tahu. Jadi saya yang seharusnya bercakap di depan, kerana saya lebih tahu berbanding ahli fotografi muda ini. Saya lebih banyak pengalaman dan kemahiran.

“Mungkin kerana kita berbangsa Asia, mereka tidak memandang kita. Kita tidak wujud di mata mereka.

Kerana itu melalui potret saya, selepas Kuala Lumpur, dan Malaysia…saya berhasrat untuk melebarkan Jen Potrait ke Jakarta, Bangkok dan seluruh rantau ini. Saya mahu ia sebagai “tanda perniagaan”.

Bagaimanapun kata Jen, dia tidak akan tergesa-gesa. ” Kita tidak boleh melihat perniagaan ini sebagai perniagaan. Tetapi harus fokus sebagai karya seni. Biarlah karya itu bercakap sendiri,” kata ayah kepada seorang anak lelaki berusia 21 tahun, yang kini sedang menuntut di Australia. Isterinya pula adalah seorang suri rumah sepenuh masa.
Akui Jen, biarpun sudah menjejak usia tua, minatnya terhadap hidang yang diterokainya ini tetap membara seperti umurnya 18 tahun.

“Ia tidak berkurangan. Sebaliknya saya lebih lapar untuk berkarya. Saya sentiasa ingin melakukan yang lebih baik.

“Pada orang lain, pada umur ini mereka sudah bersara dan berehat,” katanya yang masih cergas bersukan, mengunjungi gimnasium dan berenang. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru