Friday, August 19, 2022

Adenan guna “formula khas” tangani isu sembilan ADUN BN tanpa parti sertai PBB

Secara Rawak

KUCHING: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Adenan Satem akan menggunakan “formula khas” untuk menerima sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) tanpa parti yang memohon untuk menyertai parti itu.

Timbalannya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, formula khas tersebut akan membolehkan pendekatan penyertaan mereka kelak akan dapat diterima oleh semua parti komponen BN, seterusnya menangani segala isu yang timbul.

abg jo

“Saya tidak boleh mengumumkan apakah bentuk formula itu.

“Hanya Presiden dan Setiausaha Agung yang dapat mengumumkannya,” katanya ketika ditemui selepas sidang media mesyuarat pengswastaan khidmat pelancongan taman-taman negara terpilih Sarawak di pejabatnya di Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di sini pagi tadi.

Menurutnya, perkara pokok yang harus diputuskan terlebih dahulu ialah pendirian wakil rakyat itu sendiri dalam menentukan parti mana yang akan mereka sertai.

“Ini akan diikuti dengan persetujuan parti-parti komponen dalam BN,” katanya lagi.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tertinggi PBB yang dijangkakan selepas SUKMA XVIII ini dan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadual pada Oktober atau November dijangka akan dapat merumuskan keputusan mengenai kedudukan mereka ini.

Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau optimis, pengalaman luas pemimpin veteran itu diyakini mampu menyelesaikan perkara itu yang mampu memuaskan hati semua pihak, terutama dalam kalangan pemimpin dan ahli parti komponen lain.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), Adenan telah mencipta formula Calon Langsung BN dalam Tim Adenan bagi menyelesaikan isu tuntutan kerusi bertindih dan penentuan calon antara parti komponen serta parti serpihannya.

Berikutan itu, 11 daripada 82 calon telah bertanding atas tiket calon langsung tersebut dan kesemua mereka berjaya memenangi kerusi masing-masing.

Sesuai dengan ikrar mereka sebelum dipilih, kesemua calon tersebut diberi kebebasan untuk memilih parti yang akan diwakili, dengan syarat ia hendaklah dalam kalangan parti komponen BN. Dan selepas PRN, sembilan wakil rakyat ini memohon untuk menyertai PBB.

Mereka ialah Adun Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, Rosey Yunus (Bekenu), Paulus Palu Ngumbang (Batu Danau), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkelili), Ranum Mina (Opar), Miro Simuh (Serembu), John Ilus (Bukit Simuja) dan Datuk Gerawat Gala (Mulu).

Dengan penerimaan penyertaan mereka ke dalam PBB, parti itu akan mempunyai 49 kerusi, sekali gus menjadi parti tunggal yang menguasai 60 peratus daripada kerusi dalam DUN Sarawak, termasuk Speaker DUN. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru